BERSAINGLAH SECARA SIHAT, NAK PROTES BUAT APA…

0
113

Catatan ASAN AHMAD…

TERIMALAH kekalahan dengan hati terbuka. Tak payah la nak protes itu dan ini. Kalah menang memang dah adat dalam perlumbaan.

Kadang-kadang orang yang buat protes ni disebabkan dia berasa malu sebab kalah kepada pasukan ‘kerdil’ yang baharu nak menimba pengalaman bagi memeriahkan arena sukan tempatan.

Sepatutnya pasukan baharu harus diberi bimbingan, jangan dipamerkan dengan budaya yang kurang sihat. Sikap seperti itu hanya akan membunuh minat seseorang individu terhadap sukan.

Itu antara peristiwa yang saya terdengar sebaik berakhirnya saingan Pusingan 6 kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Lumba Terengganu, Gong Badak semalam.

Ada yang tampil mengemukakan protes kerana berasa kurang puas hati selepas pelumbanya gagal meraih penamat podium pada perlumbaan akhir salah satu kategori yang dipertandingkan dalam kejuaraan tersebut.

Terpaksalah jentera pasukan ‘kerdil’ ini ‘dibedah siasat’ bagi memastikan kesahihan protes yang dikemukan oleh pasukan gergasi itu, dan sehingga catatan ini disiarkan, tiada sebarang keraguan yang timbul.

Kadang-kadang, pandangan pasukan yang berstatus ‘gergasi’ ni tak semuanya betul. Mereka bersangka buruk seperti itu disebabkan mereka pernah melakukan benda-benda yang melanggar peraturan dalam perlumbaan sebelum ini – dan sebab itulah mereka mengemukakan protes.

Kalau tak pernah buat, mereka tak akan bersangka buruk macam tu.

Sebagai orang lama dalam kejuaraan ini, mereka seharusnya faham tentang akibatnya melanggar peraturan pertandingan.

Semoleknya bertandinglah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh penganjur. Kalah menang itu banyak bergantung dengan kemahiran pelumba dan juga kestabilan jentera, bukannya disebabkan modifikasi pada enjin yang bertentangan dengan peraturan.

Dalam mana-mana sukan sekali pun, jika seseorang atlet itu melanggar peraturan, pasti padah yang akan dialaminya. Jadi, bersainglah secara sihat.

Saya secara peribadi memang berasa bangga apabila melihat generasi muda tampil ke hadapan menubuhkan pasukan sendiri untuk bersaing dalam arena sukan permotoran tempatan.

Kehadiran mereka ini pastinya akan membawa aura baharu, sekali gus membantu mengembangkan sukan tersebut ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Idea orang muda ni selalunya lebih fresh dan terkini untuk membawa suasana baharu dalam sesuatu pertandingan.

Kalau nak protes sekali pun, biarlah ada asasnya. Ingin saya jelaskan disini bahawa kehadiran pasukan baharu ini dalam kejuaraan Cub Prix bukannya untuk membuat ‘penipuan’.

Mereka mungkin tiada pengalaman, tetapi mereka tahu tentang peraturan. Mereka tampil dengan cara yang sihat dan berlumba atas semangat kesukanan yang tulen.

Mereka bertekad untuk menjadi sebuah pasukan yang profesional suatu hari nanti dengan gaya pengurusan yang bersih, dinamik, professional serta berdiri atas kaki sendiri, sekali gus membawa nafas baharu dalam kejuaraan berprestij itu.

Mereka juga tahu apa akibatnya jika melanggar peraturan dan semua ini mereka terapkan dalam diri semua kru pasukan, baik mekanik mahupun pelumba. Mereka bersaing atas semangat kesukanan yang tinggi. Nak menipu langgar peraturan buat apa?

Nak menang, perlu kerja keras dan pelumba juga harus dididik dengan disiplin yang tinggi kerana ia akan menjadi pembakar semangat mereka untuk terus bekerja keras bagi menjulang nama pasukan.

Inilah elemen-eleman yang diterapkan oleh pengurusan pasukan baharu ini dalam kalangan kru mereka kerana ia merupakan kunci untuk meraih kejayaan.

Buktinya, mereka berhasil mencipta kejutan ketika pasukan lain memandang mereka dengan hanya sebelah mata sahaja.

Jadi bersainglah secara sihat serta mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Percayalah, status sebagai pasukan besar itu bukan jaminan untuk memenangi perlumbaan dengan mudah.

Kejayaan banyak bergantung dengan kerja keras semua kru pasukan, kemahiran serta kesungguhan pelumba itu sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here