SUKAN MALAYSIA 2020 DITUNDA KE 2022?

0
1457

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Tahun 2020 semakin hampir untuk melabuhkan tirainya, namun masih belum ada petanda ‘serangan’ pandemik Covid-19 akan berakhir.

Sejak kebelakangan ini, jumlah kes baharu terus aktif mencecah ‘empat angka’ dan perkembangan tersebut memang sangat membimbangkan.

Sekiranya ‘serangan’ wabak ini berterusan sehingga 2021, sudah pasti ia akan merencatkan banyak hal termasuk penganjuran acara-acara sukan.

Apabila melihat perkembangan tersebut, bagaimana agaknya status penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada April depan?

Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi Sukma 2020 akan dilangsungkan, tetapi ‘serangan’ wabak Covid-19 kebelakangan ini semakin kencang dan ganas.

Jika keadaan ini berterusan, ada kemungkinan temasya sukan terbesar di Malaysia itu yang dianggap sebagai Mini Olimpik Malaysia bakal ditunda lagi.

Penganjuran Sukma 2020 sebelum ini telah ditetapkan pada Julai lalu sebelum bermulanya Sukan Olimpik Tokyo yang turut ditunda ke tahun depan.

Sukan Olimpik Tokyo kini ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan dan itu pun masih belum dapat dipastikan lagi. Status temasya sukan terbesar dunia itu kini masih menjadi tanda tanya.

Apakah nasib Sukma 2020 nanti akan berdepan masalah yang sama meskipun ia ditunda ke tarikh baharu iaitu 2 hingga 10 April depan selepas Sukan Para pada 8-13 Mac nanti.

Khabar angin kini bertiup kencang yang mengatakan bahawa Sukma 2020 di Johor berkemungkinan akan ditunda lagi ekoran perkembangan kes baharu Covid-19 yang kini semakin menunjukkan peningkatan.

Jumlah kematian juga semakin meningkat dan sehingga kini, tiada tanda bahawa wabak tersebut akan reda, selain tiada vaksin untuk merawatnya.

Malah ada juga sumber yang mengatakan – jika Sukma 2020 diteruskan tanpa kehadiran penonton, ia adalah sesuatu yang sangat rugi dan menghampakan.

Penganjuran temasya sukan besar seperti Sukma tanpa kehadiran penonton dilihat sebagai alasan kukuh buat Johor untuk menundanya ke tarikh baharu.

Demi keselamatan semua pihak, adalah lebih baik ia ditunda sehingga 2022 sebelum Kelantan menjadi tuan rumah pada 2024 dan Johor mungkin lebih bersedia mementaskannya dalam tempoh dua tahun lagi.

Penganjuran acara sukan besar tanpa kehadiran penonton tidak akan memberi kepuasan khususnya kepada tuan rumah dan kemungkinan Johor sudah mempertimbangkan setiap aspek jika mahu Sukma 2020 ditunda ke tarikh baharu.

Terdahulu, Sukma Johor telah ditunda ke tahun depan bermula dengan Sukan Para pada 8 hingga 13 Mac manakala Sukma pula ditetapkan pada 2 hingga 10 April.

Sukma 2020 merupakan edisi ke-20 sejak ia mula diperkenalkan pada 1986.

Tarikh baharu itu diputuskan selepas mengambil kira tarikh peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 1 hingga 9 Mac depan.

Perubahan tersebut diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2020 Johor yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, September lalu.

Johor Bahru akan menjadi venue utama temasya sukan dwi-tahunan itu manakala Muar akan menjadi venue untuk acara-acara angkat berat, kenu dan silambam.

Kota Tinggi pula dipilih menjadi venue untuk acara-acara basikal lebuh raya dan pelayaran.

Apa yang diharapkan adalah agar Covid-19 ini segera berakhir.

 

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here