MPAJ RAIKAN HARI KANAK-KANAK DENGAN PROGRAM HARI TANPA KENDERAAN 2025

0
26
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari

AMPANG JAYA, 14 Nov – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bakal menganjurkan Program Hari Tanpa Kenderaan Sempena Hari Kanak-Kanak Peringkat MPAJ Tahun 2025 pada 16 November 2025 (Ahad), bermula jam 7.00 pagi bertempat di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah. Program ini diadakan khusus untuk meraikan Hari Kanak-Kanak sambil menyemai gaya hidup sihat dan mesra alam dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari, program ini adalah satu inisiatif mendidik masyarakat tentang kepentingan pengurangan penggunaan kenderaan bermotor yang boleh mengurangkan pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas. Pada masa yang sama, ia memberi ruang kepada keluarga untuk beriadah dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk semua golongan umur, terutamanya kanak-kanak. Antara acara utama yang bakal mencuri tumpuan ialah Fun Walk, Aktiviti Zumba, dan Eksplorasi Sukan Rakyat dan Warisan yang menggabungkan elemen kesukanan dan kebudayaan tempatan.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pengunjung cilik boleh menyertai pertandingan mewarna, sukaneka, persembahan kanak-kanak, dan menikmati permainan Supa Dupa serta Popcorn Cotton Candy. Semua ini bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak menonjolkan bakat dan menikmati hari yang penuh keceriaan.

Tidak ketinggalan, tarikan istimewa seperti pertandingan memasak “Cabaran di Dapur Bersama Chef Cilik” dan pertunjukan cosplay turut disediakan untuk memberi kelainan serta pengalaman baharu kepada para pengunjung.

Dalam usaha memelihara kesihatan masyarakat, program ini turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma dan edaran susu percuma daripada Farm Fresh. Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai hidangan lazat daripada gerai jualan serta jualan Rahmah yang menawarkan makanan dan minuman pada harga mampu milik.

MPAJ menyeru semua warga Ampang Jaya untuk bersama-sama menyokong dan memeriahkan sambutan ini. Program seperti ini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada kanak-kanak, malah menjadi wadah mengeratkan silaturrahim dalam komuniti setempat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi urus setia di talian Pn. Norhanim (010-5343292) atau En. Ashraf (017-8204448).

About The Author