TANJONG KARANG, 9 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkasa peranannya sebagai institusi pengajian tinggi yang dekat di hati masyarakat melalui penganjuran Program Kampung Angkat MADANI @ Jiwa Putra di Kampung Sawah Sempadan di sini.

Program anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM itu menghimpunkan pelbagai aktiviti melibatkan fakulti, mahasiswa, agensi kerajaan serta komuniti luar bandar dalam usaha memacu pembangunan berasaskan ilmu dan nilai Malaysia MADANI.
Menurut Pengarah UCTC UPM, Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad, program tersebut memberi penekanan kepada aktiviti pemindahan ilmu, latihan kemahiran pertanian serta gotong-royong bersama komuniti.
Seramai 200 penduduk setempat telah menyertai secara langsung pelbagai aktiviti yang dijalankan, manakala seramai 150 sukarelawan terdiri daripada pelajar dan staf UPM turut serta menjayakan program itu.
Skuad Jiwa Putra yang terlibat dalam program ini merangkumi gabungan beberapa entiti UPM termasuk Fakulti Pertanian, Fakulti Pengajian Pendidikan, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat serta Hospital Sultan Abdul Aziz Shah.
Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah program pemindahan ilmu di tujuh buah kampung sekitar Sawah Sempadan termasuk Kampung Kunci Air Buang, Kampung Segemal, Kampung Seri Tiram Jaya serta beberapa blok seperti Blok BI, Blok DKPV, Blok COJ, Blok EQSW dan lain-lain.

Aktiviti yang dijalankan meliputi pembangunan homestay, penyelenggaraan tanaman, perikanan rekreasi, ternakan arnab pedaging, penghasilan baja kompos serta teknik penanaman secara tut dan cantuman.
Seiring dengan aspirasi Kerajaan Malaysia dalam pembangunan komuniti luar bandar, program Kampung Angkat MADANI ini turut memberi fokus kepada aspek sosioekonomi, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan kemampanan.
Aktiviti seperti pengindahan landskap, pembersihan surau, mengecat, gotong-royong membersihkan tali air serta menceriakan kawasan kampung telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.
Menariknya, satu sesi podcast secara langsung selama 30 jam tanpa henti turut dianjurkan dengan penglibatan aktif warga kampung, agensi setempat dan staf serta pelajar UPM, sekali gus meningkatkan keterlihatan komuniti di media sosial Putra TV UPM.
Selain itu, program ini diserikan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti program keluarga angkat, pertandingan gubahan pulut kuning, penjualan hasil kraf tangan komuniti dan perkhidmatan klinik bergerak oleh pihak hospital universiti.
UPM menerusi program ini berhasrat memberikan pendidikan dan latihan pertanian berasaskan kemahiran vokasional serta amalan lestari kepada komuniti dengan bimbingan langsung daripada pensyarah dan mahasiswa.

Usaha ini juga dilihat mampu membina kerjasama strategik antara universiti dan komuniti desa dalam aspek pemindahan teknologi serta pengurusan sumber makanan secara moden.
Program ini turut berjaya mewujudkan komuniti yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam pertanian moden, di samping meningkatkan keupayaan mereka menjana pendapatan secara berdikari.
Bagi mahasiswa pula, program ini memberi pendedahan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar, di samping memahami keperluan masyarakat dan tanggungjawab sosial mereka.
Secara keseluruhan, inisiatif ini membuktikan komitmen UPM dalam menyokong aspirasi Malaysia MADANI dengan pendekatan turun padang yang menyeluruh, sekali gus merapatkan jurang antara universiti dan masyarakat luar bandar.












