SAH! SUKMA 2020 JOHOR DAN PARA SUKMA DITUNDA KE 2022

0
10739

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Seperti yang dilaporkan Hubmedia sebelum ini, kini sudah sah bahawa Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2020 Johor ditunda ke tahun 2022.

Berikut kenyataan media Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berhubung keputusan penundaan tersebut.

KENYATAAN MEDIA MENTERI BELIA DAN SUKAN

1. Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi
Sukan Malaysia pada hari ini secara dalam talian khusus bagi
mendapatkan pelaporan status terkini penganjuran Sukan
Malaysia Ke XX dan Sukan Para Sukma XX, Johor 2020 daripada
Sekretariat Sukma Johor 2020.

2. Mesyuarat telah dihadiri oleh semua wakil dari negeri–negeri yang
terlibat termasuk pihak Kerajaan Negeri Johor. Mesyuarat
turut dihadiri oleh Presiden MOM dan Presiden MPM. Mesyuarat pada
kali ini diadakan rentetan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa
Tertinggi Sukan Malaysia yang lalu pada 19 September 2020 bahawa
satu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi akan diadakan sekali lagi bagi
memantau perkembangan status penganjuran Sukan Malaysia 2020.

3. Mesyuarat telah diberi taklimat mengenai status pengelolaan Sukan
Malaysia dan Para Sukma Johor 2020 sebentar tadi oleh Sekretariat
Sukma Johor dan pihak Kerajaan Negeri Johor telah memohon
supaya Sukan Malaysia dan Para Sukma Johor 2020 yang
telah dijadualkan pada Mac dan April 2021, ditangguhkan
sekali lagi atas beberapa sebab:

(i) Ketidaktentuan dalam penularan wabak pandemik
COVID–19 yang telah memasuki gelombang ketiga
melanda negara pada ketika ini;

(ii) Kesukaran menyediakan jaminan keselamatan
kesihatan kepada hampir 30 ribu orang yang akan
terlibat nanti baik atlet, jurulatih, pegawai,
sukarelawan, pengurusan dan sebagainya tidak
mengambil kira penonton dan peminat sukan;

(iii) Dua kali penangguhan sebelum ini telah
menyebabkan peningkatan kos pengurusan;

(iv) Ketidaktentuan tarikh Sukan Malaysia dan Para
Sukma memberi tekanan dan kekangan kepada
perlaksanaan program latihan atlet negeri-negeri
peserta.

(v) Kalendar beberapa temasya sukan tempatan dan
antarabangsa pada tahun 2021 juga terlalu rapat
dengan beberapa tarikh penting seperti Ramadhan
(13 April – 12 Mei 2021), Kejohanan Bola Sepak Euro
2020 (11 Jun – 11 Julai 2021), Sukan Olimpik Tokyo
2020 (23 Julai – 8 Ogos 2021), Sukan Paralimpik
Tokyo 2020 (24 Ogos – 5 September 2021).

4. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, Kerajaan Negeri
Johor telah melahirkan kesediaan mereka untuk
menganjurkan Sukan Malaysia dan Sukan Para Sukma yang
ke-20 pada tahun 2022 nanti kerana secara amnya Johor telah
hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal,
kemudahan pertandingan dan sebagainya.

5. Untuk itu, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia/Para Sukma yang
bermesyuarat pada hari ini telah membuat ketetapan secara bersama
iaitu:

(i) Temasya Sukan Malaysia Ke XX, tahun 2020
ditangguhkan dan penganjurannya dibawa ke tahun
2022. Oleh itu, Temasya Sukan Para Sukma XX,
tahun 2020 juga ditangguhkan dan dibawa ke tahun
2022.

(ii) Negeri Johor ditawarkan semula menjadi tuan rumah
Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma XX pada
tahun 2022.

(iii) Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia/Para
Sukma juga memutuskan tuan rumah Sukan Malaysia
dan Para Sukma XXI 2024 akan kembali ke Majlis
Sukan Negara yang akan menganjurkannya bersama
dengan Negeri Selangor atau Wilayah Persekutuan
selaras dengan persetujuan bahawa negeri-negeri
lain hanya akan menjadi tuan rumah dalam
penggiliran empat tahun sekali dan di antaranya akan
danjurkan oleh MSN bersama Selangor atau Wilayah
Persekutuan.

(iv) Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia/Para Sukma
juga bersetuju tuan rumah Sukan Malaysia XXII
dan Para Sukma XXII 2026 akan dianjurkan oleh
negeri Kelantan dan ia juga telah dipersetujui oleh
wakil Kerajaan Negeri Kelantan sebentar tadi.

(v) Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia/Para
Sukma juga bersetuju supaya Jawatankuasa Teknikal
Sukan Malaysia dan Para Sukma meneliti dan
mencadangkan semula perubahan-perubahan
peraturan yang terlibat dari segi had umur, kelayakan
penyertaan dan sebagainya bagi penganjuran Sukan
Malaysia dan Para Sukma Johor 2022 pada mesyuarat
Jawatankuasa Tertinggi yang akan datang.

(vi) Kementerian Belia dan Sukan akan memaklumkan
keputusan-keputusan tersebut kepada Mesyuarat
Jemaah Menteri.

6. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma tersebut adalah
dibuat setelah mengambilkira dan mempertimbangkan pelbagai faktor akibat kesan pandemik COVID-19, persiapan atlet dan pasukan negeri-
negeri yang menyertai, persiapan penganjuran yang terbaik, pandangan pihak berkuasa dan kerajan negeri tuan rumah dan paling utama sekali, atas dasar kepentingan kesihatan, kesejahteraan dan kebaikan semua pihak yang terlibat.

Sekian. Terima Kasih.

DATO’ SRI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Menteri Belia Dan Sukan Malaysia
9 November 2020

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here