

HULU LANGAT, 21 Disember 2025 – Program “Pick & Pay!!! Promosi Jualan Rambutan Segar” anjuran Pejabat Pertanian Daerah Hulu Langat mencatat kejayaan membanggakan apabila lebih dua tan rambutan berjaya dijual dalam tempoh hanya dua hari penganjuran.
Program yang berlangsung pada 18 dan 19 Disember lalu itu mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai, khususnya dari sekitar Lembah Klang yang tidak mahu melepaskan peluang merasai sendiri pengalaman memetik buah rambutan terus dari pokok.
Menurut Penolong Pegawai Pertanian Daerah Hulu Langat, Md Yusof Yob, ini merupakan kali pertama program seumpamanya diadakan di kawasan tersebut, dan sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaan awal pihak penganjur.

“Apabila poster promosi dimuat naik di media sosial, kami tidak menyangka sambutannya begitu hebat. Kawasan kebun mula sesak dengan pengunjung seawal jam 8 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi program.
Tambah beliau, lebih 50 pokok rambutan telah dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti memetik sendiri, dan hasilnya lebih dua tan buah berjaya dijual dalam tempoh dua hari sahaja.
Dengan harga promosi RM4.00 sekilogram, pengunjung bukan sahaja memperoleh buah rambutan segar dari dusun, malah berpeluang menikmati suasana kampung yang sukar didapati di bandar.
“Program ini bukan hanya bertujuan menjual hasil tani, tetapi juga untuk memberi pengalaman berharga kepada pengunjung – terutamanya generasi muda – agar lebih menghargai sektor pertanian tempatan,” ujarnya.

Md Yusof berkata, ramai pengunjung berkongsi pengalaman mereka di media sosial dan menyifatkan program ini sebagai satu cara mengimbau kenangan zaman kanak-kanak ketika memetik buah bersama keluarga di kampung.
Beliau turut memaklumkan bahawa segala kemudahan asas telah disediakan oleh pihak penganjur, termasuk peralatan memetik dan beg plastik bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung sepanjang program berlangsung.
“Rata-rata pengunjung berharap program seperti ini dapat diadakan setiap tahun kerana ia memberi pendedahan langsung kepada anak-anak tentang kehidupan di dusun dan asal-usul makanan yang mereka nikmati,” katanya.

Md Yusof berkata, rambutan hanyalah permulaan kepada siri promosi buah-buahan tempatan yang dirancang oleh pihaknya dalam usaha memperkasakan sektor agro-pelancongan daerah ini.
“Musim hujung tahun memang waktu yang sesuai kerana banyak buah seperti manggis, durian dan pulasan akan mula gugur. Kita bercadang untuk meneruskan promosi ini dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Pejabat Pertanian Daerah Hulu Langat juga bercadang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan dengan penambahan pelbagai aktiviti interaktif yang lebih menarik bagi menarik penglibatan lebih ramai pengunjung.
Menurutnya, kejayaan program tersebut menjadi bukti jelas bahawa masyarakat Malaysia masih menyokong hasil pertanian tempatan dan mendambakan pengalaman yang lebih dekat dengan alam semula jadi.
“Kami sangat bersyukur dengan sambutan yang diberikan. Ia menjadi dorongan dan pembakar semangat untuk kami menganjurkan program yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya mengakhiri temu bual.











