GEGAR JORAN MELAKA: PELEPASAN IKAN TEMPATAN PULIHARA EKOSISTEM TASIK AYER KEROH

0
54

MELAKA, 13 Okt – Hampir 100 kilogram ikan baung tempatan bersaiz satu kilogram ke bawah setiap ekor bersama 10,000 ekor benih ikan lampam sungai, terbul dan sebarau dilepaskan ke Tasik Ayer Keroh petang tadi, sempena Gegar Joran Melaka yang berlangsung Ahad ini.

Pengarah Pejabat Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib berkata, pelepasan itu bertujuan menambah stok ikan tempatan serta memulihara keseimbangan ekosistem tasik berkenaan.

Menurutnya, program itu merupakan inisiatif berterusan Jabatan Perikanan untuk meningkatkan populasi ikan tempatan di perairan darat yang berdepan ancaman spesies ikan asing dan pemangsa.

Beliau berkata, penambahan ikan baung serta benih lampam sungai, terbul dan sebarau diharap dapat memperkayakan sumber perikanan dan menyokong pembiakan ikan tempatan.

Antara cabaran pemuliharaan tasik, katanya, ialah kewujudan keli raja, toman dan tilapia yang boleh menjejaskan populasi ikan tempatan melalui pemangsaan atau persaingan mendapatkan makanan dan habitat.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan peserta Gegar Joran Melaka membantu mengawal populasi spesies berkenaan menerusi tangkapan sepanjang pertandingan.

“Kerjasama pemancing amat penting bagi membantu mengawal populasi spesies berkenaan supaya pembiakan dan kelangsungan hidup ikan tempatan tidak terus terjejas,” katanya pada majlis pelepasan ikan di tasik itu.

Saufi Affandi berharap pertandingan tersebut turut meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga biodiversiti perairan darat dan memelihara sumber perikanan untuk generasi akan datang.

Program anjuran bersama MPHTJ dan Nadi Media Events dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Melaka itu akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari, dengan yuran penyertaan RM40 bagi satu joran yang dibenarkan menggunakan maksimum dua mata kail.

Selain cabutan bertuah, juara bakal membawa pulang RM4,000, diikuti naib juara RM1,000 dan tempat ketiga RM500, manakala pemenang tempat keempat hingga ke-80 masing-masing menerima RM70.

Kehadiran peserta bersama keluarga dan rakan-rakan juga dijangka merancakkan kawasan Ayer Keroh serta meningkatkan kunjungan ke premis makanan, penginapan dan lokasi pelancongan berhampiran.

Majlis pelepasan ikan itu turut disertai Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Faizal Datuk Md Zin.

About The Author