MELAKA, 21 Sept — Festival Layang-Layang sempena Hari Malaysia tetap meriah walaupun tanpa penyertaan peserta antarabangsa susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menangani penularan COVID-19.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata program yang memasuki edisi ke-13 tahun ini adalah antara usaha menarik untuk mengembalikan keyakinan pelancong domestik ke Melaka di samping mempromosikan permainan tradisional layang-layang.
“Layang-layang adalah satu permainan tradisional yang semakin dilupakan dalam kalangan generasi muda lebih-lebih lagi dengan adanya gajet canggih ketika ini.
“Melalui festival seperti ini secara tidak langsung mengembalikan nostalgia kegemilangan permainan tradisonal layang-layang kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Layang-Layang Hari Malaysia 2020 di Pulau Melaka, di sini, hari ini.
Program yang bermula pada 9 pagi hingga 5 petang itu membabitkan seramai 50 peserta dari seluruh negara mempamerkan pelbagai jenis, saiz, warna dan bentuk layang-layang gergasi.
Dalam pada itu, Muhammad Jailani berkata kerajaan negeri Melaka berhasrat untuk menjadikan kawasan di Bandar Hilir sebagai hab layang-layang di Malaysia yang mengetengahkan produk tempatan serta memaparkan layang-layang dari negara luar termasuk China, Taiwan dan Indonesia.
Sementara itu, seorang peserta Danny Lau, 55, dari Kuala Lumpur berkata program hari ini adalah yang pertama disertainya sejak tempoh PKPP dilaksanakan, berbanding sebelum ini beliau menyertai festival layang-layang diadakan di seluruh negara.
Lau yang mempunyai hobi bermain layang-layang sejak remaja mengakui berasa gembira dengan aktiviti luar yang disifatkannya berfaedah serta menyihatkan tubuh badan di samping dapat beriadah bersama keluarga.
Seorang lagi peserta, Chan Meng Lian, 48, berkata aktiviti berkenaan memberi kepuasan kepadanya apabila melihat layang-layang terbang di udara biarpun terpaksa membelanjakan ribuan ringgit bagi membeli layang-layang bersaiz gergasi.
Sumber BERNAMA