AMPANG JAYA, 22 Jun – Seramai 92 murid dari peringkat tadika hingga sekolah menengah telah memeriahkan Sayembara Sajak & Bercerita MPAJ 2025 semalam.
Program anjuran anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berlangsung di Galeri dan Auditorium Menara MPAJ, Pandan Indah, Ampang Jaya.
Ia terbuka kepada murid-murid tadika serta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Selangor, melibatkan dua kategori utama iaitu bercerita dan mendeklamasi sajak.
Kategori Bercerita dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Tadika dan sekolah rendah manakala kategori mendeklamasi sajak pula membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Bagi kategori bercerita, para peserta akan menyampaikan kisah bertajuk Dongeng Dulu Kala manakala sajak pula membawa tema Kesedaran, Semangat dan Perjuangan.
Sayembara ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta agar berani tampil di hadapan khalayak, selain memupuk kecintaan terhadap bahasa, budaya dan jati diri bangsa.
Menurut pihak penganjur, sambutan yang diberikan terhadap program tersebut amat menggalakkan dan ini membuka ruang kepada mereka untuk menjadikan acara ini sebagai agenda tahunan.
Antara pengiktirafan yang disampaikan termasuk hadiah utama bagi setiap kategori, Anugerah Khas Juri serta Anugerah Busana & Tatarias Terbaik sebagai menghargai usaha dan kreativiti para peserta.