MELAKA 11 Dis. – Hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 hadiah keseluruhan menanti pemenang pada Cabaran Joran Melaka 2024 di Tasik Ayer Keroh, pada 22 Disember ini.
Jurucakap penganjur, Rosli Yahya berkata, pertandingan itu anjuran bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri dan disokong Tourism Malaysia adalah bagi memeriahkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) yang akan menutup tirai hujung bulan ini.
Menurutnya, pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai RM7,000 kepada pemenang tempat pertama, kedua mendapat RM2,000 dan ketiga membawa pulang RM1,000.
“Bagi pemenang tempat keempat hingga ke-10 akan mendapat RM200, tempat ke-11 hingga ke-20 menerima RM150 dan tempat ke-21 hingga 100 masing-masing mendapat RM100.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua kaki pancing sama ada dari negeri ini atau luar dan kita mensasarkan kira-kira 700 peserta akan mengambil bahagian pada acara yang akan bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tenghari,” ujarnya di sini hari ini.
Rosli berkata, selain hadiah wang tunai, pemancing juga berpeluang membawa pulang beberapa hadiah cabutan bertuah termasuk satu unit televisyen 32 inci dan 10 unit kotak pancing.
Katanya, semua spesis ikan dipertandingkan serta layak untuk menerima hadiah yang ditawarkan dan yuran yang ditetapkan ialah RM50 untuk sebatang joran dua mata.
“Antara spesis ikan yang terdapat di tasik ini seperti keli, tilapia, patin, toman,
kaloi, haruan dan peacock bass,” ujarnya.
Katanya, sebanyak 500 kemeja-T ditawarkan kepada peserta yang mendaftar awal pada pertandingan tersebut.
Ujarnya, bagi mereka yang berminat boleh mendaftar awal secara walk-in apabila kaunter akan dibuka pada Sabtu dari pukul 4.00 petang hingga 7.00 malam dan pada hari pertandingan dari pukul 8.30 hingga 10.00 pagi.
Katanya, sebarang pertanyaan boleh menghubungi 013-2667011, 012-3554946 dan 012-2846811 serta boleh melayari laman sosial facebook.com/jorankl. untuk maklumat terkini.