SEPANG – Hadiah wang tunai keseluruhan RM53,000 menanti pemenang pertandingan memancing Terbuka Selangor di Pantai Bagan Lalang, dekat sini Ahad ini.
Pertandingan anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Wakjali Event Management itu, menawarkan hadiah wang tunai juara bagi Kategori Terbuka RM15,000 untuk juara, naib juara menerima RM4,000 dan ketiga RM2,000. Pemenang keempat dan kelima menerima RM500, keenam -10 (RM300) dan ke-11 – 100 menerima RM100).
Penganjur turut menawarkan hadiah wang tunai bagi kategori spesis belukang dan ikan duri berjumlah RM14,500 serta hadiah tambahan sebanyak RM6,000 bagi peserta kelahiran dan pemastautin di Selangor.
Jurucakap pertandingan, Md Zali Kasran berkata idea penganjuran acara itu dicetuskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian & Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani Selangor, YB Ir Izham Hashim.
“Acara ini akan bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Ini adalah acara kedua dianjurkan UPEN setelah kejayaan penganjuran kali pertama di Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang pada 26 Oktober lalu.
“Ini adalah kali pertama pertandingan memancing diadakan di Pantai Bagan Lalang sejak lebih lima tahun lalu. Pantai ini akan ditutup sementara daripada aktiviti mandi-manda sepanjang tempoh pertandingan bagi mengelak berlaku kemalangan di kalangan pengunjung pantai,’’ katanya.
Selain hadiah wang tunai, pemancing juga berpeluang membawa pulang 50 hadiah cabutan bertuah termasuk tiga unit televisyen 32 inci.
Yuran penyertaan RM75 untuk satu joran manakala bagi peserta kelainan upaya (OKU), yuran adalah RM50.
Pertanyaan dan pendaftaran boleh berhubung dengan penganjur di talian 012-2141401 dan 012-6823479.