KLANG 21 Okt – Hadiah wang tunai hampir RM60,000 menanti pemenang pertandingan memancing Terbuka Selangor di Pantai Tanjung Harapan, dekat sini 26 Oktober ini (Sabtu).
Pertandingan anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Wakjali Event Management itu, menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 untuk juara, naib juara menerima RM4,000 dan ketiga RM2,000. Pemenang keempat menerima RM1,000, kelima (RM800), keenam -10 (RM500) dan ke-11 – 20 (RM400) manakala ke-21 hingga 150 menerima RM150.
Bagi kategori khas ikan belukang dan ikan duri, penganjur menyediakan hadiah RM500 untuk juara, kedua RM300 dan ketiga RM200.
Jurucakap pertandingan, Md Zali Kasran berkata idea penganjuran acara itu dicetuskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian & Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim.
“Acara ini akan bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari. Acara ini akan memberi kelebihan kepada pemancing berasal dari Selangor dan pemastautin tetap di negeri ini.
“Ini berikutan, tambahan hadiah sebanyak RM6,000 akan diberikan kepada rakyat negeri Selangor jika mereka berjaya menduduki tempat pertama hingga ketiga.
“Tambahan hadiah ialah RM3,000 untuk juara, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000. Hadiah ini adalah sebagai galakkan kepada rakyat Selangor keluar beriadah,’’ katanya.
Selain hadiah wang tunai, pemancing juga berpeluang membawa pulang 50 hadiah cabutan bertuah termasuk televisyen 50 inci (1 unit) dan televisyen 32 inci (2 unit).
Yuran penyertaan RM90 untuk satu joran manakala bagi peserta kelainan upaya (OKU), yuran adalah RM60.
Menurut Md Zali, siri kedua Pertandingan Memancing Terbuka Selangor akan diadakan pada 8 Disember ini di Pantai Bagan Lalang, Sepang dengan menawarkan hadiah lebih lumayan.
Pertanyaan dan pendaftaran boleh berhubung dengan penganjur di talian 012-2141401 dan 012-6823479.