EDY SAMSUL UNGGULI CABARAN JORAN KUALA LUMPUR 2025, BAWA PULANG RM5,000

0
24

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Edy Samsul bin Ghazali, 35, dari Kajang muncul juara edisi pertama Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 selepas menaikkan ikan patin seberat 14.620 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dalam pertandingan yang berlangsung di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur semalam.

Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 dan berjaya menarik lebih 600 penyertaan dari seluruh negara.

Tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Faris bin Mohd Rokman, 21, dari Cheras, Kuala Lumpur dengan tangkapan patin seberat 13.230 kilogram, memenangi wang tunai RM2,000.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Mohammad Ansarullah bin Abdul Aziz, 31, dari Keramat, Kuala Lumpur yang menaikkan patin seberat 12.685 kilogram, membawa pulang RM1,000.

Spesies ikan patin mendominasi kedudukan 19 teratas pertandingan, manakala spesies keli hanya mampu berada di tempat ke-13 dengan berat 9.325 kilogram.

Acara ini turut menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk kecintaan terhadap alam sekitar dan mempererat hubungan dalam kalangan warga kota.

Penyertaan dari negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Selangor turut menyerikan suasana, membuktikan sokongan kuat terhadap acara berprestij ini.

Lebih daripada sekadar pertandingan, Cabaran Joran ini berperanan sebagai medium perpaduan komuniti bandar melalui aktiviti riadah sihat dan inklusif.

Timbalan Pengarah Jabatan Pentadbiran DBKL, Khairulrizal Che Johari menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dalam suasana meriah dan penuh semangat kesukanan.

Siri Cabaran Joran akan diteruskan pada 3 Mei di Taman Tasik Ampang Hilir, 31 Ogos di Taman Tasik Metropolitan Kepong dan 11 Oktober di Taman Tasik Danau Kota sempena Hari Sukan Negara 2026.

Dengan sambutan hangat dan penyertaan yang memberangsangkan, Cabaran Joran Kuala Lumpur dijangka terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan kaki pancing seluruh negara.

About The Author