SHAH ALAM,17 Jan – Hadiah lumayan menanti pemenang pada Fiesta Joran Selangor (FJS) 2025 yang bakal berlangsung di Tasik Fraser Valley di Kuala Kubu Bharu pada 9 Februari depan.
Hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000 akan menjadi rebutan dengan juara bakal membawa pulang wang tunai RM8,000. Naib juata dan tempat ketiga pula masing-masingnya bakal menerima RM2,000 dan RM1,000.
Pihak penganjur menjangkakan lebih 500 peserta bakal menyahut cabaran pada FJS 2025 ini.
Selain hadiah utama, peserta yang menduduki tempat keempat hingga ke-10 juga tidak akan pulang tangan kosong kerana mereka bakal menerima hadiah saguhati RM200.
Tempat ke-11 hingga ke-30 pula akan menerima RM150 manakala bagi tempat ke-31 hingga ke-100 pula akan meraih RM100 setiap seorang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Sdn Bhd, Chua Yee Ling, ini merupakan kali pertama Tasik Fraser Valley dipilih sebagai lokasi pertandingan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Katanya, Fraser Valley merupakan salah satu produk pelancongan yang berpotensi tinggi untuk dipromosikan memandangkan ia sering menjadi kawasan penganjuran acara- acara interaktif seperti kembara RIUH, glamping dan banyak lagi.
“Acara Fiesta Joran Selangor juga diadakan bertujuan untuk mempromosi pelancongan dan ekonomi tempatan, terutamanya sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
“Acara ini diharap dapat memupuk perpaduan dan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Yuran penyertaan adalah RM50 bagi setiap joran dan 500 peserta terawal akan menerima T-shirt eksklusif.
Pendaftaran boleh dibuat di lokasi pertandingan pada 8 Februari nanti bermula jam 3.30 petang hingga 7 malam atau pada hari pertandingan dari pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman Facebook JORANKL atau dengan menghubungi urus setia di talian 013-266 7011, 012-355 4946, atau 012-284 6811.