

TANJONG KARANG, 15 Disember 2025 – Hari kedua Karnival Sawah Tanjung Karang anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) terus berlangsung meriah dengan pelbagai acara menarik yang menyasarkan penyertaan seluruh keluarga, bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Karnival ini menyajikan gabungan aktiviti tradisional, makanan warisan dan penyertaan komuniti yang sangat menggalakkan. Antara aktiviti tumpuan ialah pertandingan gusti lengan ‘Kampung Style’ yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di gelanggang utama, menarik ramai peserta dari kalangan belia dan dewasa.
Serentak dengan itu, pertandingan makanan warisan bertemakan Masakan Jawa turut mencuri tumpuan di dewan, dengan pencuci mulut berasaskan ubi kayu sebagai bahan utama. Pertandingan ini bukan sahaja mempamerkan kreativiti peserta, malah memartabatkan kembali masakan tradisional dalam kalangan generasi muda.

Beberapa aktiviti interaktif seperti Kuiz Agro dan cabutan bertuah turut dianjurkan, menghidupkan suasana di sekitar tapak karnival dan menggalakkan pengunjung untuk terus aktif sepanjang hari.
Di Pentas Utama, acara dimulakan dengan sesi DIY Pembuatan Jem Nanas oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKKPP) UPM pada jam 9.00 pagi, diikuti Demonstrasi Masakan Tempatan oleh Pertubuhan Jawa Parlimen Tanjong Karang pada jam 10.30 pagi yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.
Majlis Penutup yang berlangsung jam 12.00 tengah hari menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan, penyerahan sijil kepada agensi dan rakan kerjasama, serta cabutan bertuah terakhir sebagai penutup tirai yang meriah.

Menurut Pengarah UCTC UPM, Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad, penganjuran karnival ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk setempat dan berjaya mengeratkan hubungan antara universiti dengan komuniti luar bandar.
“Karnival ini bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi pertanian dan produk tempatan, malah berjaya menghubungkan masyarakat dengan kepakaran universiti dalam suasana santai dan mesra keluarga,” ujar beliau.
Karnival dua hari ini menampilkan komitmen UPM dalam memacu transformasi komuniti melalui pendekatan pendidikan, keusahawanan dan kebudayaan, sejajar dengan peranan universiti sebagai pemacu pembangunan lestari masyarakat.











