
SERDANG, 26 Nov – Kemeriahan Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 bakal digamatkan dengan penganjuran pertandingan memancing ‘Jaguh Joran 2025’, hasil kolaborasi strategik antara Utusan Malaysia dan UPM.

Pertandingan yang dinanti-nantikan pemancing tegar dari seluruh negara ini akan berlangsung pada Ahad ini, 30 November 2025, bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, bertempat di lokasi popular kaki pancing, Kolam 1, Bukit Ekspo UPM, Serdang.
Apa yang menjadikan edisi kali ini lebih menarik ialah tawaran jumlah hadiah keseluruhan melebihi RM10,000, termasuk konsep istimewa ‘sapu bersih’ bagi peserta yang berjaya.
Dengan hanya RM40 yuran penyertaan bagi satu joran dua mata kail, para peserta berpeluang merebut hadiah utama RM4,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing bakal membawa pulang RM1,000 dan RM500.
Tidak cukup dengan itu, peserta yang menduduki tempat ke-4 hingga ke-100 juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila bakal menerima RM50 setiap seorang sebagai hadiah saguhati.

“Antara ikan buruan utama ialah patin bersaiz mega melebihi 13 kilogram, selain jelawat, kap, belida, keli, haruan, baung, tilapia dan lampam yang sedia menanti ditawan oleh para peserta,” jelasnya lagi.
Sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang hari pertandingan, pihak penganjur turut mengadakan majlis pelepasan ikan baung hampir 150 kilogram ke dalam Kolam 1, sekaligus menambah keterujaan dan peluang kemenangan kepada para peserta.
Menurut Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed, pertandingan ini bukan sahaja memperkayakan pengisian minggu konvokesyen, malah mampu menyatukan komuniti pemancing dan warga kampus.

Beliau berkata, semua spesies ikan dipertandingkan bagi memberikan cabaran terbuka dan adil kepada semua peserta tanpa mengira tahap pengalaman.
Lebih menarik, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik bagi meningkatkan keterujaan dan nilai tambah kepada pertandingan.
Bagi memudahkan urusan, kaunter pendaftaran awal akan dibuka pada Sabtu, 29 November 2025, dari jam 3.00 petang hingga 7.00 malam di khemah khas berhampiran Kolam 1.
Pada hari pertandingan pula, peserta boleh hadir seawal jam 6.30 pagi untuk mendaftar dan membuat persiapan akhir sebelum pertandingan bermula.
Penganjur menyasarkan sehingga 500 penyertaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Jaguh Joran sebagai antara acara memancing paling meriah dan berprestij di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi urus setia: Syukur (013-2667011), Jas (012-3554946) atau Ali (012-2846811).











