JELEBU 2 WHEELS FESTIVAL TARIK 5,000 PENGUNJUNG

0
132
Yang Dipertua MDJ, Abdul Rahim A. Aziz

JELEBU, 26 Sept. – Pekan Kuala Klawang dijangka menerima kehadiran lebih 5,000 pengunjung sempena penganjuran Jelebu 2 Wheels Festival 2025 pada 11 dan 12 Oktober ini.

Festival berkenaan dianjurkan oleh Majlis Daerah Jelebu (MDJ) dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah serta Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu.

Yang Dipertua MDJ, Abdul Rahim A. Aziz, berkata festival tersebut bakal menjadi acara terbesar daerah pada tahun ini dan menghimpunkan peminat motosikal dari seluruh negara.

Menurut beliau, pengisian festival turut menampilkan persembahan mini bike oleh kanak-kanak sekali gus memberi peluang kepada generasi muda untuk diketengahkan dalam bidang sukan permotoran.

“Festival ini bukan sahaja berbentuk hiburan, malah berperanan sebagai platform menggalakkan gaya hidup sihat, merapatkan hubungan masyarakat serta menyemarakkan semangat kesukanan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, penganjuran tersebut mampu memberi impak kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan khususnya kepada peniaga serta pengusaha kecil.

Beliau berkata, festival berkenaan juga merupakan langkah awal sebagai pemanas kepada Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Antara acara utama yang akan berlangsung ialah konvoi motosikal berkuasa tinggi, pertandingan Battle of Sound & Speed, pameran produk tempatan, serta persembahan hiburan rakyat.

Kemuncak festival pada malam 11 Oktober akan diserikan dengan persembahan artis popular, Nizam Laksamana, selain Pertandingan Akhir Battle of Sound & Speed.

Majlis penutup pada 12 Oktober jam 2 petang pula akan disempurnakan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias. Festival ini disokong agensi kerajaan, NGO serta kelab permotoran dan berpotensi dijadikan acara tahunan peringkat nasional.

About The Author