KAKI PANCING BAKAL GEGAR CABARAN JORAN AMPANG JAYA

0
136

AMPANG JAYA, 13 Jun – Seramai 500 peserta bakal berentap merebut hadiah keseluruhan bernilai lebih RM10,000 pada Cabaran Joran Ampang Jaya di Tasik Pandan Perdana Jaya minggu depan.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, program memancing itu diharap dapat membantu mempromosi pelancongan domestik di kawasan Ampang Jaya selain mempromosikan aktiviti Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pertandingan anjuran bersama MPAJ, Jawatankuasa Penduduk MPAJ dan Airfour Classic itu turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia.

“Pada edisi 2023, peserta yang berjaya menawan ikan patin seberat 1.795 kilogram(kg) telah muncul juara dan ketika itu pelbagai spesis ikan seperti talapia, patin, belida, toman, haruan, keli, ketutu serta ikan bandar raya turut dinaikkan oleh peserta.

“Lebih dua tahun tiada pertandingan memancing diadakan tasik berkenaan dan berharap warga Ampang Jaya dan kaki pancing tidak melepaskan peluang untuk hadir beraksi dan berkumpul bersama keluarga pada pertandingan kali ini.

“Menariknya, Tasik Pandan Perdana begitu dekat dengan Kuala Lumpur dan ini memberi peluang kepada kaki-kaki pancing terutama sekitar Lembah Klang untuk hadir,” jelas Hasrolnizam.

Beliau juga menjelaskan bahawa juara pertandingan kali ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, naib juara (RM1,000), ketiga (RM700) manakala tempat keempat hingga ke-70 masing-masingnya akan menerima RM70.

Yuran penyertaan RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan konsep pertandingan adalah sapu bersih dimana semua spesis ikan dipertandingkan.

Pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan pada Sabtu ini mulai jam 3 petang hingga 7 malam dan keesokannya kaunter akan dibuka bermula jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Untuk pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-2661077, 012-3554946 atau 012-2846811 atau melayari laman sosial facebook.com/jorankl.

About The Author