MPPD GIAT BUAT PERSIAPAN RAPI HADAPI PD SURFCASTING 2025, AHAD INI

0
212
Pengarah Jabatan Pelancongan Korporat dan Komuniti Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Encik Mohammad Norazlan bin Othmany, bersama barisan pegawai dan urus setia program bertujuan memastikan penyusunan lokasi, laluan keluar masuk kenderaan serta keperluan logistik berjalan lancar pada hari sabtu dan ahad nanti.
Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid (tengah) mempamerkan Tshirt disediakan sebanyak 500 helai bagi pendaftaran awal kepada peserta yang mendaftar.

PORT DICKSON, 1 Dis – Persiapan rapi sedang dijalankan bagi memastikan kelancaran penganjuran Pertandingan Memancing Port Dickson Surfcasting 2025 yang bakal berlangsung pada 7 Disember ini di Pantai Bagan Pinang. Lawatan tapak telah diadakan hari ini bagi meneliti pelbagai aspek logistik dan teknikal menjelang acara tahunan tersebut.

Lawatan tersebut diketuai oleh Pengarah Jabatan Pelancongan Korporat dan Komuniti Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Encik Mohammad Norazlan bin Othmany, bersama barisan pegawai dan urus setia program. Tujuan lawatan adalah untuk memastikan penyusunan lokasi, laluan keluar masuk kenderaan serta keperluan logistik berjalan lancar pada hari kejadian.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Encik Muhammad Zaki bin Yahya, Pengerusi Kesatuan ANULAE Cawangan MPPD bersama beberapa Ahli Jawatankuasa ANULAE yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran program. Mereka turut mengadakan perbincangan strategik di tapak bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang acara berlangsung.

Pertandingan memancing ini merupakan acara tahunan MPPD dan telah pun dimasukkan dalam Kalendar Acara Pelancongan Negeri Sembilan (Calendar of Events – CoE 2026), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu produk pelancongan utama di daerah ini.

Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada ANULAE Cawangan MPPD serta Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS). Penganjur menyasarkan penyertaan meluas daripada pemancing-pemancing dari dalam dan luar Negeri Sembilan, termasuk dari negeri-negeri jiran seperti Selangor, Melaka dan Johor.

MPPD optimis bahawa pertandingan ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kesukanan dan mencintai alam sekitar, malah berpotensi besar untuk merancakkan lagi industri pelancongan di Port Dickson terutamanya dalam sektor pelancongan komuniti dan rekreasi pantai.

Acara akan berlangsung pada hari Ahad, 7 Disember 2025 bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Pantai Bagan Pinang. Yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM80 untuk setiap joran, dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berminat untuk mencuba nasib.

Antara tarikan utama pertandingan ini ialah tawaran hadiah wang tunai lumayan kepada para pemenang. Juara akan membawa pulang hadiah tunai RM10,000, tempat kedua RM5,000, dan tempat ketiga RM1,000. Hadiah turut disediakan hingga ke tempat ke-100, menjadikannya salah satu pertandingan memancing yang dinanti-nantikan.

Selain itu, peserta juga berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai RM10,000 dengan pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan pihak penganjur. Ia dijangka menyemarakkan lagi suasana dan menarik perhatian pengunjung ke lokasi program.

Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran melalui dua kaedah mudah iaitu dengan mengimbas Kod QR yang dipaparkan pada poster promosi atau melalui pautan rasmi: https://forms.gle/zxGE8RTP8eq9GCn27.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak urus setia di talian 019-6365345, 018-2815065 atau 019-6794091.

About The Author