PELAJAR UPSI DIDIE SHAZRY JUARA PROGRAM RAISE THE STAR MALAYSIA

0
310

TANJUNG MALIM, 12 Ogos – Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Didie Shazry dinobatkan sebagai juara sulung program realiti nyanyian terbaharu, Raise The Star Malaysia anjuran Astro.

Kemenangan tersebut merupakan satu kebanggaan buat UPSI, sekali gus menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus.

Dalam konsert akhir yang disiarkan secara langsung dari Royale Theatre Shah Alam itu, Didie Shazry berjaya memukau juri dan penonton dengan persembahan yang mantap dan vokal yang bertenaga.

Beliau menewaskan finalis lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, sebuah trofi dan peluang untuk merakam single terbaharu ciptaan komposer terkenal, Aina Abdul yang berjudul ‘Peganglah Hati’.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Didie Shazry berikutan kejayaannya membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki bakat besar dan berdaya saing dalam bidang seni.

Kemenangan ini, katanya, adalah hasil usaha gigih dan komitmen Didie Shazry serta sokongan padu daripada para pensyarah dan rakan-rakan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.

Didie Shazry, pelajar semester tiga program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Muzik), mula mendapat perhatian menerusi lagu ‘Joget Jiwa Lara’ yang liriknya ditulis oleh pensyarah beliau yang juga komposer terkenal, Dr Azam Dungun bersama rakan-rakan pelajar UPSI.

Pembabitan beliau dalam industri muzik bukan sahaja mengangkat namanya, malah turut meletakkan nama UPSI di persada seni tanah air.

Pihak universiti berharap kejayaan Didie Shazry akan terus menyuntik semangat para pelajar lain untuk tidak takut mengejar impian mereka dan membuktikan bahawa pendidikan di UPSI mampu melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan cemerlang dalam pelbagai bidang.

 

About The Author