500 PESERTA BAKAL BERENTAP PADA CABARAN JORAN TASIK PANDAN PERDANA

0
145

AMPANG JAYA, 20 Jun – Tasik Pandan Perdana di Ampang Jaya terus menjadi tumpuan menerusi penganjuran Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 yang dijangka menarik penyertaan 500 pemancing pada Ahad ini.

Pertandingan memancing yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM10,000 ini bukan sahaja menjadi medan para pemancing beradu nasib, malah turut mengangkat potensi tasik berkenaan sebagai produk pelancongan tempatan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari berkata, pertandingan ini anjuran bersama MPAJ, Jawatankuasa Penduduk MPAJ dan Airfour Classic, dengan sokongan Tourism Malaysia, merupakan salah satu usaha memperkenalkan lokasi rekreasi bandar sebagai tarikan untuk pelancongan domestik.

“Kita mahu tonjolkan Tasik Pandan Perdana sebagai destinasi riadah dan pelancongan komuniti yang sesuai untuk seisi keluarga, di samping menyokong inisiatif Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika ditemui selepas majlis melepaskan ikan di tasik berkenaan hari ini.

Dua spesies ikan lampan sungai dan baung telah dilepaskan ke dalam tasik berkenaan penganjuran Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 pada Ahad ini.

Tasik Pandan Perdana kini menjadi habitat kepada pelbagai spesies ikan seperti talapia, patin, belida, toman, haruan, keli, ketutu dan ikan bandar raya.

Kesemua spesies ini akan dipertandingkan secara konsep ‘sapu bersih’, membolehkan setiap tangkapan layak dinilai.

Juara pertandingan kali ini bakal membawa pulang wang tunai RM4,000, naib juara RM1,000, tempat ketiga RM70, manakala tempat ke-4 hingga ke-70 masing-masing menerima RM70. Yuran penyertaan adalah RM40 bagi sebatang joran.

Sebanyak 400 helai baju-T eksklusif turut disediakan untuk peserta yang mendaftar awal.

Kaunter pendaftaran akan dibuka pada hari Sabtu (3 petang–7) dan disambung pada pagi Ahad (6.30 pagi–10 pagi) di lokasi pertandingan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 013-2661077, 012-3554946 atau 012-2846811 atau melayari laman rasmi Facebook di facebook.com/jorankl.

About The Author