PESTA PARIT @ PACHITAN PERKUKUH WARISAN, SEMARAK SEMANGAT KOMUNITI

0
757

PORT DICKSON, 29 Ogos 2025 – Kampung Pachitan bakal kembali meriah dengan acara tahunan yang dinanti-nantikan, iaitu Pesta Parit @Pachitan yang akan berlangsung pada Ahad, 28 September 2025 bertempat di Parit Belakang Kampung Pachitan.

Acara anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Pachitan itu akan bermula seawal 8.00 pagi, dan menjanjikan pelbagai pengisian menarik yang menggabungkan hiburan, warisan dan komuniti.

Menurut jurucakap program, Ahmad Nadzri Ismail, pesta ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah platform menyatukan penduduk pelbagai peringkat umur menerusi aktiviti kampung yang mengimbau nostalgia.

“Tahun ini, kami bukan hanya mahu cari Raja Parit @Pachitan, tapi juga mahu hidupkan semula suasana desa yang makin pudar ditelan zaman,” katanya.

Antara acara paling dinanti sudah tentu Pertandingan Memancing Kategori Puyu, yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 untuk juara, RM700 bagi naib juara dan RM500 untuk tempat ketiga.

Peserta yang berjaya menduduki tempat ke-4 hingga ke-50 pula tidak pulang tangan kosong kerana bakal menerima saguhati bernilai RM100 dan RM50.

Bagi Kategori Spesies, ikan selain puyu terberat akan membawa pulang RM100, manakala kategori Tangkapan Terpantas turut menawarkan jumlah sama.

Dengan hanya RM50 yuran penyertaan setiap joran, pesta ini dianggap antara yang paling berbaloi untuk disertai kaki pancing dari seluruh negara.

Lebih menarik, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai permainan tradisional seperti Meniti Titian Tok Min, Pukul Bantal dan Ngoca Sembilang yang kini jarang sekali kelihatan di kampung-kampung.

Aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi wadah mendekatkan generasi muda kepada budaya warisan.

Namun, acara paling mencuri perhatian semestinya Cabutan Bertuah, yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah Modenas Kriss, motosikal elektrik (EV) dan barangan elektrik yang pasti buat ramai tidak sabar mencuba nasib.

Menurut penyelaras program, Nizam, pesta ini dijangka mendapat sambutan luar biasa berdasarkan kejayaan edisi-edisi terdahulu.

Beliau berkata, orang ramai dari luar kawasan turut dialu-alukan hadir untuk merasai keunikan budaya serta keakraban penduduk kampung.

“Lebih ramai yang datang, lebih meriah suasana – kami sedia sambut semua,” ujarnya ringkas.

Sebarang pertanyaan atau penyertaan boleh dibuat dengan menghubungi urus setia di talian berikut: Syahfizie (011-3239 0949), Syamil (011-1123 7318), Salim (016-567 1907), atau Arizal (017-625 1124).

Ayuh kita pacak joran, rebut hadiah dan raikan warisan di Pesta Parit @Pachitan 2025!

About The Author