
PETALING JAYA, 19 Februari 2025 – Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM21,300 menanti para pemenang dalam Pertandingan Memancing Petaling Jaya Joran 2025 (PJ Joran 2025) yang bakal berlangsung pada Ahad ini di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya.
Acara ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena sambutan Tahun Melawat Selangor 2025.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Haji Hassan, berkata pertandingan memancing ini telah memasuki edisi keenam dan sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada pemancing di sekitar Lembah Klang.
“Sebanyak 600 penyertaan disasarkan pada tahun ini bagi memeriahkan suasana serta mempromosikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai destinasi riadah utama.”
“Pemenang utama bakal membawa pulang RM6,000 berserta piala, manakala naib juara menerima RM3,000, dan tempat ketiga sebanyak RM1,000. Hadiah wang tunai turut diberikan kepada peserta di tempat keempat hingga ke-100,” katanya.
Bagi menarik lebih ramai peserta, kali ini tiga tasik dibuka dengan semua spesies ikan dipertandingkan. Pada tahun 2023, ikan patin seberat 5.72 kilogram dinobatkan sebagai juara, dan diharapkan ada pemancing yang berjaya menaikkan ikan lebih besar tahun ini.
Pertandingan ini memberi peluang kepada pemancing untuk bertarung dengan spesies ikan seperti patin, baung, tongsan, toman, haruan, rohu, kap, belida, keli, dan tilapia. Acara ini juga menjadi platform untuk masyarakat berkumpul, sekali gus merancakkan peluang perniagaan setempat.

“Hasrat MBPJ adalah untuk menjadikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya sebagai lokasi riadah sekeluarga serta meningkatkan pelancongan dan ekonomi setempat,” tambah Aznan.
Yuran penyertaan adalah RM60 bagi setiap joran, dan pendaftaran boleh dilakukan pada Sabtu, 4 petang hingga 10 malam, serta pada hari pertandingan mulai 6.30 pagi sehingga pertandingan bermula. Sebanyak 400 helai baju-T percuma akan diberikan kepada peserta terawal, selain cabutan bertuah dengan hadiah menarik seperti barangan elektrik dan peralatan memancing.
Bagi memastikan keseronokan pemancing, acara pelepasan ikan telah diadakan dengan hampir 400 kilogram spesies baung dilepaskan ke dalam tasik.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai PJ Joran 2025, sila hubungi urus setia di 013-2661077, 013-3052811, atau 012-2846811, atau layari laman sosial facebook.com/jorankl.
Caption gambar: