AYER KEROH, 22 Dis – Mohd. Qamarul Anuar Abd Latif, 37, dari Selandar muncul juara Cabaran Joran Melaka 2024, sekaligus membolehkannya meraih hadiah wang tunai RM7,000.
Menurutnya, dengan hanya menggunakan cacing sebagai umpan pada pertandingan tersebut ternyata telah membawa tuah kepadanya apabila berjaya menawan ikan keli seberat 2.66 kilogram.
“Alhamdulillah, kemenangan ini saya anggap rezeki anak kedua saya yang bakal lahir tahun.
“Ini merupakan kemenangan ketiga pada tahun ini selepas kali terakhir tiga bulan lalu apabila saya turut membawa pulang hadiah kemenangan RM20,000 pada pertandingan memancing di Negeri Sembilan.
“Minat terhadap memancing ini memang tinggi, memandangkan saya juga pengusaha ikan air tawar di Selandar, jadi sedikit sebanyak boleh memahami bagaimana untuk menawan ikan air tawar,” jelasnya.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron, penganjuran pertandingan tersebut dilihat mampu menaikkan lagi potensi Tasik Ayer Keroh sebagai lokasi pelancongan riadah.
Katanya, program anjuran bersama MPHTJ yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu turut menarik penyertaan para kaki pancing dari Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Sapiah menjelaskan bahawa pihaknya menerima banyak cadangan daripada para peserta untuk menganjurkan pertandingan seumpama ini pada tahun hadapan.
“Pada tahun 2025, kita merancang untuk menganjurkan program memancing berskala besar,”jelasnya yang turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pada pertandingan tersebut.