
AMPANG JAYA, 23 Jun – Peserta dari Beranang, Selangor Muhammad Abdullah Selamat, 51 menjuarai Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 yang berlangsung di Tasik Pandan Perdana, semalam.
Beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta menewaskan 513 peserta lain apabila berjaya menaikkan ikan patin seberat 4.660 kilogram (kg) dengan menggunakan umpan roti berperisa strawberi.
Kejayaan tersebut membolehkan Muhammad membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000.
“Sudah lama saya tunggu nak rasa berdiri atas podium, akhirnya termakbul juga. Alhamdulillah, rezeki memang tak sangka. Saya akan gunakan sebaik mungkin hadiah ini,” katanya yang telah lebih 20 tahun aktif dalam dunia memancing.
Naib juara pula menjadi milik Mohd Ariffin Ahmad, 49, dari Kampung Pandan dengan ikan patin seberat 2.865kg bagi membolehkannya menerima hadiah RM1,000.
Tempat ketiga pula dimenangi Ahmad Alakhiri Ayob dari Rawang dengan tangkapan ikan keli seberat 1.865kg, sekali gus menerima hadiah wang tunai RM700.
Pertandingan bermula seawal 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu telah menarik penyertaan pemancing dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Melaka.
Antara spesies ikan yang berjaya dinaikkan para peserta termasuk ikan patin, haruan, lekoh, puyu, raja, talapia, ikan bandaraya, ketutu, lampam dan peacock bass.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk MPAJ dan Airfour Classic serta disokong Tourism Malaysia. Ryoko pula tampil sebagai rakan strategik.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur.