
KUALA LUMPUR – Kemeriahan dan gelak tawa mewarnai Dataran Merdeka pada Sabtu lalu apabila Sukaneka Tradisional berlangsung bersempena dengan program KUL Vibes 2025.
Acara yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini diadakan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 bagi mengeratkan ukhuwah dan memupuk semangat perpaduan.

Perasmian program disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif yang turut meluangkan masa menyaksikan pertandingan berlangsung.
Sebanyak 10 permainan tradisional dipertandingkan dalam dua kategori iaitu Terbuka dan Orang Kurang Upaya (OKU). Antara acara yang mencuri tumpuan ialah lari dalam guni, tapak gajah, boling kelapa, tarik upih dan terompah gergasi.

Suasana menjadi lebih gamat dengan sorakan penyokong apabila peserta menunjukkan aksi lucu dan penuh semangat dalam setiap pertandingan.
Menurut seorang peserta, program ini mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak dan memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali permainan tradisional.

“Seronok sangat! Dulu main dengan kawan-kawan di kampung, sekarang boleh ajak anak-anak pula untuk cuba permainan ini,” katanya.
Dalam kategori Terbuka, pasukan Lalalitamplom dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang RM1,500, diikuti Dak Dak Hafest (RM800), Geng Lengoi (RM500) dan Five GL (RM300).
Bagi kategori OKU, pasukan Well Done memenangi RM1,000, diikuti Best (RM700), Sugee (RM500), dan Pelangi (RM300).

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Izwan Razif Salehaped.
Penganjuran sukaneka ini mendapat sambutan menggalakkan dan membuktikan bahawa permainan tradisional masih relevan serta mampu menyatukan masyarakat.

DBKL berharap program ini terus menjadi platform untuk meperkukuhkan perpaduan dan mempromosikan budaya di Wilayah Persekutuan, khususnya di Kuala Lumpur.
Dengan kejayaan KUL Vibes 2025, diharapkan acara seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar nilai warisan permainan tradisional terus dipelihara.