PANTAI KELANANG BANTING JADI LOKASI TETAP PERTANDINGAN MEMANCING PERINGKAT NEGERI SELANGOR

0
286
MAT Irwan (tiga dari kanan) bersama para pemenang pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour di Pantai Kelanang.

BANTING, 25 Ogos –  “Pantai Kelanang akan dijadikan lokasi tetap bagi pertandingan memancing peringkat negeri Selangor tahun depan”.

Demikian jelas Ahli Majlis Zon 18 Majlis Perbandaran Kuala Langat, Mat Irwan Mat Ismail ketika merasmikan pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour anjuran Wakjali Event Management dengan sokongan Tourism Malaysia di pantai berkenaan semalam.

Menurut Mat Irwan, berikutan sambutan luar biasa dalam dua pertandingan memancing di pantai berkenaan sebelum ini, telah menguatkan iltiam beliau untuk menjadikan Pantai Kelanang sebagai lokasi tetap pertandingan memancing di negeri Selangor pada masa akan datang.

“Saya akan berbincang lanjut dengan pihak berkepentingan untuk membuat kerja-kerja penambahbaik keadaan tebing di pantai ini untuk kemudahan pemancing.

“Buat masa ini, kawasan parkirnya agak luas, kawasan perkhemahan, surau, tandas dan gerai jualan memang telah tersedia dan sentiasa dalam keadaan baik sebagai kemudahan untuk para pengunjung,’’ katanya.

Pada pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour itu, sejumlah 600 peserta tampil menyahut cabaran meskipun ia bertembung dengan beberapa pertandingan memancing lain di Selangor.

Pada pertandingan di Pantai Kelanang itu, peserta dari Putrajaya, Izhar Nordin muncul juara selepas berjaya menawan ikan gemang seberat 1.440 kilogram, sekali gus membolehkan eliau menerima hadiah wang tunai RM20,000.

Tempat kedua menjadi milik Majid Musa dari Melaka yang menaikkan ikan gemang seberat 1.430 kilogram bagi membolehkannya meraih hadiah wang tunai RM4,000.

Sementara itu, Alif Zakaria dari Klang, Selangor yang menjinakkan ikan malong seberat 0.905 kilogram berpuas hati di tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Pertandingan tersebut merupakan siri kedua Surfcasting Tour tahun ini. Siri pertama diadakan pada 23 Jun lalu di Pantai Sepat, Pahang. Siri ketiga bakal diadakan pada Disember nanti, namun lokasinya masih belum ditetapkan.

 

About The Author