RIDER HELMET PINK BUKAN SEKADAR BERLUMBA

0
9580

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Penampilan pertama seorang pelumba wanita dalam sukan permotoran negara musim 2020 ini, tidak selancar yang diimpikannya.

Pelbagai rintangan dilaluinya, namun ia tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus melangkah ke hadapan.

Penyertaannya bukan untuk memburu kemenangan kerana dia tahu ia sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh mana-mana individu yang tidak mempunyai latar belakang berlumba dalam kejuaraan yang kompetitif.

Segala pertimbangan ini sudah difikirkannya dengan mendalam sebelum dia membuat keputusan nekad melangkah ke litar lumba untuk bergelar sebagai pelumba.

Penyertaannya pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini adalah untuk mencari kepuasan serta mahu mencuba sesuatu yang baharu terutama aktiviti yang banyak kaitan dengan bidang yang diminatinya.

Begitulah tekad Nur Atikah Azwar atau lebih dikenali sebagai Rider Helmet Pink ketika dia membuat keputusan untuk menyertai kategori Pro Am pada kejuraan Cub Prix Malaysia awal tahun ini.

Perjalanan kariernya sangat menarik. Dia tidak mempunyai pengalaman berlumba, tetapi memiliki minat yang mendalam dengan aktiviti yang berkaitan dengan motosikal selain menjadi Youtuber serta bertindak sebagai Duta (gambar atas) untuk beberapa produk tertentu.

Malah, kehadirannya dalam sukan tersebut boleh dianggap sebagai tarikan baharu, sekali gus membantu mencetuskan minat dalam kalangan wanita untuk tampil sebagai pelumba pada masa akan datang.

Memang tidak dinafikan kejuaraan Cub Prix pernah disertai beberapa pelumba wanita sebelum ini, tetapi tidak banyak perhatian yang diberikan kepada mereka.

Musim ini, kehadiran Nur Atikah atau Ika telah memperlihatkan sedikit perubahan lebih-lebih lagi selepas kategori yang disertainya semakin diberi perhatian oleh pihak berkenaan mahupun para penaja.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kehadiran Ika memiliki aura tersendiri dan penyertaannya pada kejuraan berprestij itu dilihat sebagai tarikan baharu bagi memastikan sukan dua roda ini terus kukuh menikmati populariti tersendiri.

Lebih penting, dia hadir bukan sekadar untuk menjadi pelumba, tetapi turut mencuri ilmu bagaimana untuk mengendalikan pasukan dan juga berurusan dengan penaja.

Inilah kelebihan dia – melangkah dengan berani walaupun pasukannya tidak semewah pasukan elit yang lain.

Mengimbas penyertaan pertama Ika pada kejuaraan Cub Prix bagi musm 2020 ini, ia tidak berjalan dengan mulus.

Namun, sebagai pendatang baharu, kejayaannya meraih satu mata pada Pusingan 1 di Litar Sepang wajar dianggap sebagai satu pencapaian terbaik diikuti dua mata pada Pusingan 2 di Litar Lumba Tangkak, Johor.

Begitupun, ketika dia sudah mula berasa selesa dengan rentaknya, malang terus menimpanya pada aksi Pusingan 3 di Litar Sepang pada 3 September lalu sebaik kejuaraan ini bersambung semula selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19.

Dia terlibat dalam kemalangan ketika mengharungi perlumbaan dan mengalami patah tangan kirinya yang memerlukan pembedahan segera.

Dia berehat hampir tiga bulan, namun nasib memihak kepadanya kerana perlumbaan ini kembali ditunda gara-gara PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) selepas aksi Pusingan 4 di Kuala Terengganu.

Tempoh tersebut dipergunakan sepenuhnya oleh Ika untuk menjalani proses pemulihan terhadap kecederaan yang dialaminya selain membuat segala persiapan yang perlu sebelum kejuaraan ini bersambung semula.

Malang selalunya tidak berbau, dan kali ini Ika sekali lagi berdepan detik duka apabila kehilangan seorang mekanik yang mengendalikan jenteranya dalam setiap perlumbaan.

Mekaniknya, Khairul Ariffin meninggal dunia pada awal November lalu akibat kemalangan jalan raya selepas pulang dari tempat kerjanya. AL-FATIHAH…

Detik-detik terakhir bersama mekaniknya, Ariffin.

Kehilangan Ariffin itu yang amat memahami kehendak Ika dengan jenteranya, sangat dirasainya lebih-lebih lagi ketika ini Ika sedang mengharungi aksi Pusingan 5, 6, 7 dan 8 di Litar Sepang Utara yang bermula sejak Jumaat lalu hingga 24 Disember ini.

Begitupun, penampilannya pada aksi Pusingan 5 dan 6 tetap tidak mengecewakan kerana dia berjaya mengutip mata masing-masingnya tiga mata (Pusingan 5) dan 5 mata pada Pusingan 6.

Pencapaian tersebut telah menempatkan Ika di kedudukan ke-20 keseluruhan dengan 11 mata daripada sejumlah 33 pelumba yang berdaftar untuk kategori Pro Am.

Seorang lagi pelumba wanita yang beraksi dalam kategori ini, Nuraina Halisya Hamiruddin berada di kedudukan ke-18 dengan mengumpul 13 mata.

Kedudukan teratas terus dipimpin Md Asyraf Daniel Md Zamri dari Selangor yang menjuarai perlumbaan akhir Pusingan 6 pada Ahad dengan mengumpul 106 mata.

Md Usammah Md Narzam yang menjuarai perlumbaan akhir Pusingan 5 Sabtu lalu, berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 92 mata.

Pusingan 7 dan 8 kejuaraan ini akan diteruskan di litar yang sama Selasa ini hingga 24 Disember.

Selepas memperlihatkan kemajuan dalam setiap perlumbaan meskipun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya, maka tiada yang mustahil buat Ika untuk terus memberi saingan dalam baki dua perlumbaan lagi yang bakal diharunginya minggu ini.

KEDUDUKAN KESELURUHAN (5 TERATAS) PRO AM SELEPAS PUSINGAN 6

  1. Md Asyraf Daniel Md Zamri (SEL) – 106 mata
  2. Md Usammah Md Narzam (SEL) – 92
  3. Md Syafiq Asyraf Md Zam Zam (JOH) – 66
  4. Md Arfyq Hillman (PRK) – 63
  5. Md Adib Asri (JOH) – 51

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here