KEJOHANAN BOLA SEPAK B-12 F&N MAGNOLIA 2025 BUKA TIRAI

0
318

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Buat julung kalinya, Kejohanan Bola Sepak Bawah-12 Tahun F&N Magnolia secara rasminya akan bermula pada 13 hingga 16 Oktober depan di SMK USJ 23, Subang Jaya, dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kejohanan empat hari ini yang menghimpunkan juara-juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu, akan menampilkan 16 pasukan kesemuanya.

F&N Magnolia – Susu Segar 100 peratus, yang terkenal dengan keenakan rasa selain membekalkan nutrien penting seperti kalsium dan protein, tampil mengorak langkah baharu dalam memperkasakan program pembangunan bola sepak yang dianjurkan oleh BSKK.

F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, menerusi jenama utamanya 100PLUS, telah sekian lama menyokong usaha Kementerian Pendidikan dengan menaja Liga KPM sejak ia mula diperkenalkan pada 2008.

“Kejayaan Liga KPM mendorong kami untuk memperluaskan lagi penglibatan dalam pembangunan bola sepak remaja ke peringkat Bawah-12 tahun pula. Kami sedar lebih banyak kejohanan berkualiti dianjurkan, justru dengan kerjasama BSKK, kami menganjurkan kejohanan baharu ini,” kata Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Norazrin Norsyam Yee pada majlis pelancaran kejohanan di Kuala Lumpur, hari ini.

“F&N Magnolia, Susu Segar 100 Peratus adalah rakan paling sesuai bagi kejohanan baharu ini. Kami percaya susu segar ini merupakan pilihan terbaik untuk kanak-kanak kerana kaya dengan vitamin, kalsium dan protein penting untuk pertumbuhan serta kesihatan menyeluruh mereka”.

Sementara itu, Pengarah BSKK, Ithnin Mahadi turut menyatakan rasa bangga dengan penganjuran kejohanan ini.

“Kerjasama antara Kementerian dan F&N telah lama terjalin. Ia bukti komitmen berterusan mereka dalam pembangunan bola sepak negara dari peringkat akar umbi. Pihak swasta sememangnya mempunyai peranan penting dalam membangunkan sukan, dan kami menghargai sokongan jangka panjang F&N Beverages Marketing Sdn Bhd,” kata beliau.

Kejohanan Bola Sepak Bawah-12 Tahun F&N Magnolia 2025 menyaksikan 16 pasukan dari Lembah Klang bersaing buat pertama kali.

Pasukan-pasukan ini akan dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sepasukan dengan juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Tuan rumah, Selangor, akan diwakili oleh 10 pasukan, manakala Kuala Lumpur dengan empat pasukan dan Putrajaya dengan dua pasukan.

Kesemua pasukan yang bertanding merupakan juara pada pertandingan peringkat Majlis Sukan Daerah masing-masing, kecuali Putrajaya yang diwakili johan dan naib johan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan, Putrajaya.

“Kami yakin kejohanan ini akan mendapat sambutan hebat dalam kalangan pemain muda dan akan diteruskan pada tahun hadapan. Jika berjaya, tidak mustahil kejohanan ini akan diperluaskan lagi selepas tahun 2026,” kata Norazrin.

 

About The Author