PUTRAJAYA, 27 Feb – Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan MILO terus mengukuhkan kerjasama dalam misi memperkasakan aktiviti sukan dalam kalangan generasi muda.
Bagi merealisasikan komitmen tersebut KPM baru-baru ini telah melancarkan takwin sukan MSSM bagi tahun 2025 dengan menyenaraikan 24 acara yang bakal dipertandingkan pada kejohanan peringkat MSSM tahun ini.
Kerjasama tersebut merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam pakatan yang terjalin erat selama 70 tahun, sekali gus memainkan peranan penting dalam usaha menyokong pembangunan atlet-atlet muda di peringkat akar umbi – sejajar dengan misi MILO Malaysia untuk membina sebuah negara yang aktif bersukan.
Kejohanan KPM-MSSM- MILO merupakan kemuncak pertandingan sukan peringkat sekolah di negra ini yang menghimpunkan atlet muda berbakat dari sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Pertandingan peringkat kebangsaan ini menyediakan platform penting untuk murid-murid sekolah menyerlahkan bakat masing-masing dalam pelbagai acara sukan yang dipertandingkan.
“Kejohanan MSSM bukan sekadar acara sukan biasa, tetapi juga lambang aspirasi negara untuk membina generasi baharu yang lebih baik, seimbang dan bersedia untuk menghadapi masa depan yang mampu menempuh cabaran dunia global.
“Saya yakin bahawa usaha berterusan seperti ini, kita dapat mencapai kejayaan lebih besar dan melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia suatu hari nanti. Kami perlu melibatkan lebih ramai murid dengan memberi peluang untuk mereka menyertai kejohanan MSSM mengikut minat dan keupayaan masing-masing.
“Kita juga perlu melihat penganjuran kejohanan MSSM ini sebagai satu wadah yang boleh mencetus perubahan menyeluruh untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara,” jelas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Milo Malaysia, Ng Su Yen berkata bahawa pihaknya sentiasa komited untuk menyokong pembangunan sukan sekolah di Malaysia dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berwibawa.
“Kami percaya sukan memainkan peranan penting untuk membina komuniti yang sihat dan aktif bagi mencerminkan falsafah kami iaitu ‘Sukan Ibarat Guru Terbaik.’ Menerusi sukan, anak-anak diajar nilai-nilai seperti disiplin, kecekalan dan kerjasama sepasukan – pengajaran yang juga boleh dimanfaatkan di luar arena sukan dan membimbing mereka dalam perjalanan hidup masing-masing,” tambah Su Yen.
“Berbangga sebagai produk buatan Malaysia oleh Rakyat Malaysia, MILO dikeluarkan di kilang terbesar dunia di Chembong, Negeri Sembilan dan sempena ulang tahunnya yang ke-75 di Malaysia, MILO terus komited untuk menyokong pembangunan negara berbekalkan semangat untuk meningkatkan kesihatan dan kecergasan rakyat Malaysia sejak turun-temurun”.
Menurut Su Yen lagi, menerusi kerjasama ini, ia pasti memberi inspirasi kepada generasi muda bagi menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih kuat dan aktif.