LIGA KPM-FAM B17: PERMULAAN BAIK BUAT SSN TERENGGANU

0
23

KUALA LUMPUR, 15 Jun – SMK Bukit Nenas (Sekolah Sukan Negeri (SSN) Terengganu) bangkit daripada ketinggalan diawal permainan sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas SMK Seri Titiwangsa (SSN Kuala Lumpur) dalam saingan Liga Piala Remaja KPM-FAM Bawah 17 Tahun 2025.

Perlawanan yang berlangsung pada Sabtu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan penguasaan awal SMK Seri Titiwangsa apabila membuka tirai gol seawal minit kedua perlawanan hasil tandukan Muhd. Hafiz Hashim.

Pasukan pelawat yang dikendalikan jurulatih, Asman Ismail tidak merasakan tekanan sebaliknya mengatur gerakan untuk terus mengasak kubu lawan.

Kesabaran mereka telah membuahkan hasil apabila dua gol dicetak dalam tempoh lima minit.

Ahmad Baihaki Mohd. Adri bijak menghidu peluang untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-35 apabila lorongan rakan sepasukan dikawal dengan kemas sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Daiyan Akif Dazain buat kali kedua pada minit ke-40.

Deretan peluang dan usaha dilakukan SMK Seri Titiwangsa untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan tidak berhasil sekali gus menyaksikan kedudukan 2-1 kekal memihak kepada SMK Bukit Nenas kekal hingga tamat perlawanan.

“Para pemain pasukan saya majoritinya berusia 16 tahun,hanya dua orang sahaja berusia 17 tahun tetapi mereka dapat mempamerkan permainan mengikut apa yang telah di rancang ketika latihan.

“Saya telah memberi tahu kepada pemain, untuk mendapatkan rentak diawal permainan mungkin sukar dan kelebihan milik pasukan tuan rumah. Kesilapan pertahanan menghukum kami tetapi mereka kembali menyusun permainan dan berjaya menghasilkan dua gol,” jelas Asman.

Ini merupakan perlawanan pertama SMK Bukit Nenas dalam saingan Liga Piala Remaja KPM-FAM Bawah 17 Tahun 2025 sekali gus meletakkan mereka di tangga ketiga Kumpulan B manakala SMK Seri Titiwangsa menghuni tangga kelima dengan tiga mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Terdahulu, sebelum sepak mula, berlangsung Majlis Sepak Mula kejohanan tersebut yang antara lainnya turut memeterai perjanjian yang telah terjalin sejak 2008 di antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan pengeluar minuman isotonic No.1 negara 100PLUS selaku penaja utama.

Menerusi perjanjian tersebut, 100PLUS terus komited untuk menjadi penaja bagi Liga Sukan KPM, yang mana ia bukan sahaja menumpukan saingan Liga Bolasepak KPM B14 dan B17 tetapi juga Liga Bola jaring, Liga Olahraga dan Liga sepak takraw.

Majlis dihadiri Pengarah Penglibatan Kerajaan & Industri Fraser & Neave (F&N) Holding Berhad, Norazrin Norsyam Yee, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk TS Dr Aminuddin Hassim dan Ahli Jawatan Kuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Zainal Abidin Hassan.

 

About The Author