MOMMYHANA-SAFEE SALI SUPERKIDS CUP 2025 PENTAS CUNGKIL BAKAT BAHARU

0
29

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Melentur buluh biar dari rebungnya – demikian pepatah sesuai menggambarkan komitmen bekas penyerang skuad bola sepak kebangsaan, Safee Sali dalam usaha mencungkil bakat baharu seawal usia lapan tahun.

Langkah membangunkan bakat bola sepak akar umbi itu direalisasikan menerusi penganjuran MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Perdana pada pada 27 Disember ini.

Kejohanan berkonsep karnival keluarga dan menjadi platform buat kanak-kanak untuk belajar, bersaing serta menikmati bola sepak dalam suasana yang menyeronokkan.

Menurut Safee, kolaborasi bersama syarikat jenama produk kanak-kanak itu tercetus daripada keserasian visi dalam memperkasa pembangunan kanak-kanak di peringkat komuniti.

“Alhamdulillah, niat saya untuk kembali mencurahkan ilmu kepada akar umbi dan komuniti seiring dengan sasaran MommyHana. Dari situ terjalin kerjasama untuk memberi fokus kepada pembangunan akar umbi,” katanya dalam sidang media di Taman Melawati hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MommyHana, Mohd Farid Mohamed Sangido.

Safee yang juga pemenang Piala AFF 2010 bersama skuad kebangsaan itu memberitahu, kejohanan tersebut mendapat sambutan hangat dari kelab bola sepak di Lembah Klang dan negeri berjiran, namun penganjur menerima 32 penyertaan sahaja.

Katanya, kejohanan yang merupakan kesinambungan daripada kejayaan Piala Super Safee Serenia itu akan disertai kanak-kanak di bawah lapan, 10, 12 dan 14 tahun dengan lapan pasukan bagi setiap kategori.

“Semua slot sudah penuh dan masih ada pasukan dalam senarai menunggu. Kita mahu pastikan hanya pasukan yang benar-benar komited mengambil bahagian,” katanya.

Kejohanan itu dijangka menarik kehadiran antara 1,500 hingga 2,000 pengunjung, sekali gus mampu menghidupkan suasana karnival bola sepak dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM5,200, termasuk piala, pingat, anugerah pemain terbaik dan baucar wang tunai.

Mengulas penganjuran terdahulu, Safee berkata, perkembangan pemain muda khususnya dalam lingkungan umur 10 hingga 12 tahun amat memberangsangkan dan membuktikan potensi besar untuk melahirkan pelapis pasukan kebangsaan.

“Saya terkejut dengan kematangan permainan mereka. Bakat memang ramai dan peluang untuk menjadi pelapis negara sangat cerah,” katanya.

About The Author