PELUMBA MEMBURU GELARAN JUARA, DI LUAR LITAR PENONTON MEMBURU HONDA RS-X

0
819
Persiapan terakhir sebelum bermulanya saingan penutup musim Cub Prix bagi edisi 2023 minggu ini.

BATU KAWAN, 25 Nov – Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia 2023 akan melabuhkan tirainya di litar Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang Ahad ini.

Batu Kawan menjadi destinasi untuk Pusingan 10 atau pusingan penutup tirai bagi musim 2023 kejuaraan tersebut yang telah bermula di Litar Sepang Utara pada 25-26 Februari lalu.

Seperti biasa, aksi penutup musim ini memiliki daya tarik tersendiri kerana ia akan menjadi medan penentuan buat para pelumba untuk bergelar juara keseluruhan dalam kategori perlumbaan masing-masing bagi musim ini.

Begitupun, pada saingan penutup di Batu Kawan minggu ini, tumpuan sudah pasti tertumpu kepada para pelumba bagi kelas CP125 dan Wira KBS memandangkan juara keseluruhan bagi kelas CP150 sudah sah menjadi milik Md Akid Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing.

Jumlah mata yang dipungut oleh Akid ketika ini iaitu 166, sudah tidak boleh dipintas oleh mana-mana pelumba sekalipun pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu gagal meraih sebarang mata di Batu Kawan nanti.

Bagi kelas CP125, ia mungkin berlaku sedikit persaingan meskipun di atas kertas, pelumba pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing team, Md Khairi Asyraf Mahmood memiliki kelebihan selepas mengumpul 154 mata. Dia kini diekori rapat oleh rakan sepasukan, Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam yang sudah meraih 130 mata.

Sekiranya Shafiq menang di Batu Kawan dan Asyraf gagal meraih sebarang mata, maka mahkota kejuaraan bagi kelas CP125 bakal berada dalam genggaman Shafiq.

Begitupun, Asyraf tetap memiliki kelebihan untuk bergelar juara dengan syarat dia tidak kehilangan mata.

Percaturan ini adalah berdasarkan pungutan mata terkini para pelumba selepas selesai mengharungi 9 pusingan setakat ini.

Buruan untuk gelaran juara keseluruhan bagi kategori Wira KBS pula masih terbuka dan ia pasti akan menjadi persaingan antara dua pelumba iaitu Md Farish Iqmal Khayrul Elias (Bad Lab Honda KC Racing) dan Amirun Haziq Johan dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing.

Md Farish kini mendahului carta keseluruhan dengan meraih 150 mata manakala Amirun berada di kedudukan kedua dengan 141 mata.

Mata yang diberikan kepada pelumba yang muncul juara pada setiap pusingan adalah 25 diikuti 20 mata untuk tempat kedua dan 16 untuk tempat ketiga.

Di luar litar perlumbaan pula, tarikannya juga tidak kurang hebatnya. Pelbagai khemah promosi daripada rakan-rakan penaja Cub Prix terus rancak dengan aktiviti-aktiviti sampingan yang mereka sediakan buat para pengunjung.

Tumpuan sudah pastinya khemah Happy Bag Cub Prix yang menjual pelbagai cenderahati kenang-kenangan selain jualan Happy Bagi yang mengandungi baju-T edisi terhad pada harga RM65.

Happy Bag juga menawarkan cabutan bertuah yang menyaksikan sebuah motosikal Honda RS-X bakal menjadi hadiah utama.

Pusingan 10 ini akan menjadi peluang terakhir buat para pengunjung Cub Prix untuk membawa pulang sebuah motosikal Honda RSX dan kesempatan ini tidak harus dilepaskan sebelum edisi musim 2023 melabuhkan tirainya.

Dengan setiap pembelian Happy Bag berharga RM65, para peminat akan diberikan satu kupon untuk menyertai cabutan bertuah dan jika mahu mendapatkan tiga kupon, mereka hendaklah membeli sekurang-kurangnya dua Happy Bag.

Baju-T edisi terhad ini turut dijual di booth CP Happy Bag.

Selain jualan Happy Bag, ‘Happy Hour Game’ juga bakal diadakan yang menawarkan hadiah berupa hamper dan lain-lain barangan.

Jadi, buat para pengunjung yang menyaksikan saingan Pusingan 10 Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia di litar Batu Kawan hujung minggu ini, mereka tidak harus melepaskan peluang untuk menyertai cabutan bertuah menerusi pembelian Happy Bag Cub Prix.

Ada Cub Prix Ada Happy Bag!

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here