PIALA LIGA KPM B-14: SMK TAMAN DESA SKUDAI JUARA

0
41

SERDANG, 31 Okt – Pasukan SMK Taman Desa Skudai mengesahkan status sebagai juara Piala Liga Menteri Pendidikan Bawah 14 (B-14) 2025 selepas menundukkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) 3-1 pada aksi final yang berlansung di Stadium Mini, Universiti Putra Malaysia (UPM) petang semalam.

Aksi final ini ibarat ulangan final tahun lalu yang berlangsung di Pasir Gudang, Johor menyaksikan AMD B-14 melakar kemenangan 3-1 ketika itu.

Namun SMK Taman Desa Skudai tampak turun dengan semangat juang yang cukup tinggi apabila hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka jaringan menerusi Muhd Farish Haqiemi Muhd Azharuddin.

AMD bangkit berselang tiga minit kemudian untuk menyamakan kedudukan hasil sentuhan Ahmad Muzakif Fitri Muhamad.

SMK Taman Desa Skudai kendalian Rodolfo Pereida Villa nyata tidak goyah dengan gol penyamaan tersebut sebaliknya kekal fokus untuk mengasak kubu pasukan lawan.

Usaha itu nyata membuahkan hasil apabila Zainul Ariffin Mohd Zainuddin kembali meletakkan SMK Taman Desa di hadapan pada minit ke-29 sebelum Farish Haqiemi memusnahkan impian AMD dengan gol ketiga pada masa tambahan selepas tamat masa perlawanan sebenar untuk mengesahkan kemenangan mutlak 3-1.

Pereida nyata gembira kerana strategi yang mereka rancang telah disempurnakan dengan baik oleh barisan pemainnya.

“Saya percaya perancangan kami berjalan dengan baik dan para pemain juga telah melakukan tugasan dengan baik. Walaupun kami diikat 1-1 di awal permainan namun, pemain kami tidak hilang fokus dan mengikut perancangan yang telah di atur.

“Kami memiliki penyerang yang berbakat serta pantas untuk melakukan serangan daripada setiap penjuru padang,”kata Pereida.

Bagi pengendali AMD, Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin, semua pemainnya telah memberikan yang terbaik dalam setiap perlawana dan ia merupakan satu pengalaman yang berharga buat mereka.

“Ini adalah final, pasukan mana yang lebih baik dan kurang melakukan kesilapan berpeluang untuk menang.

“Bagi saya semua pemain sudah memberikan yang terbaik dan ini adalah proses pembangunan. Mereka perlu belajar daripada setiap perlawanan yang mereka lalui dan yang paling penting untuk saya adalah perkembangans yang telah mereka tunjukkan kerana masih banyak lagi yang perlu mereka hadapi,” kata Shahril Faizal.

Dalam pada itu, hasrat pasukan AMD B-16 untuk menebus kekecewaan pasukan ‘adik’ tidak kesampaian selepas kecundang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada SMK Tunku Anum Tunku Abd Rahman dalam aksi final Piala Liga Remaja KPM FAM B-17 yang berlansung di venue yang sama disebelah malam.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa sebenar perlawanan.

AMD B-16 memecah kebuntuan pada minit ke-59 untuk mendahului 1-0 menerusi jaringan Muhd Asmadi Muhd Raflee.

Seminit sebelum wisel penamat dibunyikan, AMD B-16 terdiam apabila Muhd Hariz Haziq Hairol Naim meledak gol penyamaan, sekaligus mengheret permainan ke masa tambahan. Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalty selepas tiada jaringan tambahan tercipta.

Penjaga gol SMK Tunku Anum Tunku Abd Rahman, Muhd Airell Elfi Abdullah muncul wira pasukan apabila menafikan sepakan Muhd Rayyan Anaqy Husharudin.

Pengendali SMK Tunku Anum, Mohd Adzlan Abu menjelaskan bahawa pasukannya lebih sedekad gagal untuk melayakkan diri ke pentas final dan berterima kasih kepada semua yang telah membantu merealisasikan kejayaan tersebut.

“Kami agak perlahan diawal permainan, tidak pasti samada keletihan gara-gara perjalanan jauh atau gemuruh di final, tetapi dapat bangkit di penghujung permainan dan menjadi juara.

“Kali terakhir kami ke final ialah pada 2013 dan ketika itu muncul naib juara. Sudah 12 tahun dan tahun ini kita muncul juara,” kata Adzlan Abu.

Hadiah kepada para pemenang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Won dan Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri Freaser & Neave Holding Bhd, Norazrin Norsyam Yee.

About The Author