KUALA LUMPUR, 12 Julai – Selepas 14 tahun menabur bakti dengan skuad hoki Sarawak, akhirnya ketua jurulatih, C. Sivasubramaniam membuat keputusan untuk ‘berpisah’ dengan pasukan dari bumi Kenyalang itu.
Siva, 69 tahun telah mebuat keputusan untuk tidak memperbaharui kontraknya dengan Persatuan Hoki Sarawak (SHA) yang berakhir pada 30 Jun lalu.
Alasannya adalah untuk berehat seketika daripada sukan tersebut bagi memberi tumpuan kepada keluarganya.
Begitupun, dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali aktif suatu hari nanti.
Sepanjang 14 tahun khidmatnya dengan SHA, jurulatih yang berasal dari Kedah itu pernah cuba dilamar oleh beberapa negeri lain, tetapi dia tetap setia membimbing pasukan dari bumi Kenyalang itu.
“Sedih juga untuk meninggalkan Sarawak, tetapi saya terpaksa melakukannya bagi memberi komitmen kepada keluarga buat masa ini,” katanya yang pernah membawa skuad hoki wanita Sarawak meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2006 di Kedah.
Prestasi Siva bukan setakat membawa Sarawak meraih emas pada temasya di Kedah, malah sepanjang khidmatnya, dia telah berjaya melahirkan beberapa pemain berkualiti untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.
Antaranya adalah Fazilla Sylvester Silin yang merupakan tonggak skuad wanita negara suatu ketika dulu.
Siva memulakan karier hokinya bersama pasukan Kedah pada tahun 1969. Meskipun memiliki gaya permainan yang menarik, namun beliau gagal untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan.
Selepas persaraannya, dia lebih cenderung melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan dan pernah membimbing dua pasukan peringkat umur di Selangor sebelum mengendalikan skuad Perak yang muncul juara Sukma pada 1994.
Dia juga pernah membimbing skuad wanita negara pada temasya Sukan SEA 1993 dan 1995 serta beberapa kejohanan antarabangsa yang lain.
Atas sumbangan besarnya terhadap sukan hoki di Sarawak, seluruh peminat sukan tersebut di negeri bumi Kenyalang itu merasakan satu kehilangan lebih-lebih lagi dengan usahanya memperkenalkan sukan hoki kepada murid-murid sekolah di kawasan luar bandar.