JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor merancang mengadakan Persidangan Pemimpin Mahasiswa Johor bersama Exco Pendidikan negeri, akhir tahun ini, sebagai usaha mengurangkan masalah birokrasi antara mahasiswa dan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan menerusi satu kenyataan hari ini, berkata persidangan sedemikian kemudian akan diadakan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun sekali gus menjadi medium rasmi interaksi dua hala di antara kerajaan negeri dan persatuan mahasiswa.
“Oleh itu, saya mengharapkan agar mahasiswa Johor dapat memanfaatkan persidangan ini untuk mewujudkan hubungan terus dengan Exco Pendidikan Johor dan pentingnya untuk menyedarkan setiap seorang daripada kita bahawa kita mempunyai tanggungjawab kepada Johor dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan sama, Aminolhuda turut menyampaikan bantuan dana pengurusan berjumlah RM44,000 kepada 22 buah Persatuan Mahasiswa Anak Johor pada bengkel berkenaan.
Pemberian dana sebanyak RM2,000 kepada setiap persatuan itu bertujuan membantu pemimpin mahasiswa Johor untuk mengurus dan memajukan persatuan mahasiswa anak Johor di kampus masing-masing.
— BERNAMA
Content retrieved from: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-johor-rancang-persidangan-bersama-pemimpin-mahasiswa-219348.