PROGRAM CUCI-CUCI MALAYSIA ZON 22 MBPJ SEMARAKKAN SEMANGAT CINTAKAN KEBERSIHAN

0
36

PETALING JAYA, 30 Sept. – Program Cuci-Cuci Malaysia Zon 22 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berlangsung meriah dan penuh semangat di Taman Bandaran Kelana Jaya, Sabtu lalu dengan penyertaan seramai 60 sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program yang bermula seawal pukul 8.00 pagi itu bertujuan untuk memupuk kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan persekitaran serta menggalakkan amalan plogging — gabungan larian santai dan kutipan sampah — sebagai satu gaya hidup sihat.

Sepanjang tempoh empat jam, para peserta berganding bahu mengutip kira-kira 60 kilogram sampah dari kawasan taman rekreasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai beriadah pada hujung minggu.

Turut memeriahkan program ialah Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Encik Aznan bin Ahmad yang hadir menyampaikan ucapan ringkas, menyuntik semangat kepada para peserta yang terlibat dalam inisiatif hijau ini.

“Program seperti ini sangat bermakna kerana ia melibatkan peranan masyarakat secara langsung. Kebersihan bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, tetapi merupakan amanah bersama seluruh warga kota,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha berterusan seperti ini amat selari dengan agenda MBPJ dalam merealisasikan bandar raya yang lebih bersih, hijau dan lestari menjelang tahun 2030.

Penyertaan program melibatkan pelbagai pihak termasuk penduduk setempat, pelajar institusi pengajian tinggi, kakitangan MBPJ serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama turun padang menyumbang tenaga.

Sejak diperkenalkan di Petaling Jaya, Program Cuci-Cuci Malaysia menerima sambutan menggalakkan dan kini diperluas mengikut zon bagi memberi fokus kepada kawasan yang memerlukan perhatian dari segi kebersihan dan penjagaan alam sekitar.

Menurut pihak penganjur, lokasi bagi penganjuran seterusnya sedang dikenal pasti dan akan diumumkan tidak lama lagi. Masyarakat diseru untuk terus menyokong inisiatif ini demi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan harmoni.

Program berakhir sekitar pukul 12.00 tengah hari dengan para peserta pulang membawa pengalaman yang bermakna serta iltizam baharu untuk terus mengamalkan budaya menjaga kebersihan dalam kehidupan seharian.

About The Author