PBT DIGESA MANFAATKAN KUTIPAN CAJ PEMAJUAN UNTUK NAIK TARAF KEMUDAHAN AWAM

0
13

 AMPANG, 24 Nov. – Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa menggunakan sebahagian simpanan dan hasil kutipan caj pemajuan untuk membaik pulih serta menaik taraf kemudahan awam demi keselesaan penduduk.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, PBT perlu menyediakan peruntukan bagi memastikan kemudahan seperti dewan dan padang permainan sentiasa dalam keadaan baik serta dapat digunakan masyarakat setempat.

“Sebelum ini, saya mengarahkan PBT untuk menggunakan sebahagian simpanan mereka bagi menaik taraf dan membaik pulih kemudahan awam demi kepentingan serta kesejahteraan masyarakat.

“Saya memuji komitmen Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang memperuntukkan tambahan RM700,000 bagi pembangunan semula Taman Rekreasi Madani AU2, selain peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Persekutuan menerusi inisiatif Padang Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Pembukaan Taman Rekreasi Madani AU2 di sini pada 21 November 2026.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari berkata, kos keseluruhan pembangunan semula taman rekreasi itu berjumlah RM1.7 juta.

Katanya, peruntukan tambahan RM700,000 daripada simpanan hasil kutipan caj pemajuan membolehkan semua komponen pembangunan taman itu dilaksanakan.

Projek tersebut meliputi penambahbaikan kemudahan asas, peluasan kawasan permainan kanak-kanak serta penyediaan kemudahan untuk sukan seperti pickleball, badminton, bola jaring, bola sepak dan ragbi.

MPAJ turut menyediakan tapak yang berpotensi digunakan untuk jualan kecil-kecilan pada masa hadapan, sekali gus membuka peluang kepada penduduk setempat untuk berniaga.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) akan diteruskan pada 2027 dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri dan PBT. Program itu telah memanfaatkan 104,000 pelajar menerusi penyediaan makanan dua kali seminggu.

Pelaksanaannya dijangka bermula sekitar April 2027 dengan sasaran kira-kira 100,000 pelajar menerima makanan percuma.

About The Author