KPM KOMITED IMBANGI ASPEK AKADEMIK, SUKAN DALAM KALANGAN PELAJAR

0
65

SERDANG, 2 Nov – Kementerian Pendidikan (KPM) mahu memastikan para pelajar sekolah memiliki keseimbangan terhadap pencapaian akademik dan sukan serta bidang kokurikulum dalam usaha memperkasa pembangunan murid secara holistik, sekaligus membentuk sahsiah, disiplin dan daya kepimpinan.

Timbalan Menteri KPM, Wong Kah Woh menjelaskan keseimbangan ini penting terutama sukan yang membuka ruang kepada para pelajar untuk mempamer bakat masing-masing.

Menerusi penganjuran sukan berkonsepkan liga seperti Liga Sukan KPM, ia dilihat sebagai langkah terbaik dan berkesan sebagai medan pembangunan bakat secara berstruktur.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha KPM untuk memastikan anak-anak kita bukan sahaja bijak dari segi akademik tetapi juga mempunyai pentas untuk mempamer dan membuktikan kehebatan bakat masing-masing dalam bidang sukan serta kokurikulum,” kata Kah Woh.

Liga Sukan KPM dianjurkan susulan perlaksanaan Liga Bolasepak KPM yang merangkumi Liga Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun dan Liga Piala Remaja KPM-FAM B-17 anjuran Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) sejak 2008.

KPM telah memperluaskan penganjuran tersebut ke acara sukan lain seperti Grand Prix Sepak takraw pada 2011 dan Liga Juara Remaja Bola Jaring KPM B-14 pada 2012.

Bagi edisi 2025 Liga Sukan KPM diteruskan dengan membabitkan tiga jenis sukan utama iaitu bola jaring, sepak takraw dan olahraga yang menghimpunkan murid-murid dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Pusat Latihan Daerah (PLD) di seluruh negara.

Sirkit pertama liga bermula dari 25 hingga 27 April lalu di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor sebagai pengelola.

Ia diikuti sirkit kedua di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dari 11 hingga 13 Julai, membabitkan tiga venue utama – Dewan Arena Tertutup Gong Badak, Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dan Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail.

Sirkit ketiga yang juga pusingan akhir, telah berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober lalu yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional sebagai venue utama.

Tambah Kah Woh lagi, penglibatan syarikat swasta juga perlu untuk bersama-sama membantu usaha KPM menjayakan program ini.

“Saya, bagi pihak KPM mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan penghargaan dan terima kasih terhadap sokongan daripada rakan strategik kita khasnya 100PLUS yang telah memberi kerjasama kepada KPM dalam menjayakan program ini,” katanya.

Penganjuran Liga Sukan KPM turut mendapat kerjasama daripada beberapa persatuan sukan kebangsaan yang berkaitan.

Turut terlibat memberi komitmen dalam program ini termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Olahraga Malaysia (OM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

 

About The Author