MELAKA, 19 Okt – Remaja berusia 14 tahun menjuarai Gegar Joran Melaka 2026 di Tasik Ayer Keroh di sini semalam manakala bapanya pula meraih tempat kedua dalam pertandingan berkenaan.
Aqif Haziq Junaidi dari Bukit Rambai muncul juara selepas menaikkan ikan tilapia seberat 0.810 kilogram (kg), sekali gus membolehkannya meraih hadiah wang tunai RM4,000.
Menggunakan umpan cacing, Aqif Haziq tidak menyangka tangkapannya itu membolehkan dia mengatasi peserta lain dan berkongsi kegembiraan tersebut bersama keluarga yang hadir.
Lebih menggembirakan remaja itu apabila bapanya, Junaidi Hassan, 47, turut mencatat kejayaan, menjadikan penyertaan mereka sekeluarga sebagai kenangan manis.
Junaidi meraih hadiah RM1,000 selaku naib juara menerusi tangkapan ikan tilapia seberat 0.795kg, hanya dibezakan 15 gram daripada tangkapan anaknya.
Tempat ketiga pula menjadi milik Muhamad Syuib Md Amin, 30, dari Tanjong Kling yang menaikkan ikan toman seberat 0.765kg.
Pertandingan itu menghimpunkan 350 peserta dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka, manakala kehadiran ahli keluarga yang menemani mereka memeriahkan suasana di sekitar tasik serta menjadikan program tersebut ruang beriadah bersama keluarga.
Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib berkata, program berkenaan turut menjadi platform meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga ekosistem tasik berkenaan.
Antara ikan yang berjaya dinaikkan peserta sepanjang pertandingan ialah ikan raja atau peacock bass, toman, keli, tilapia dan diamond, dengan tangkapan itu turut memberi gambaran kepelbagaian ikan di tasik berkenaan.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Faisal Datuk Md Zin.
Program anjuran bersama MPHTJ dan Nadi Media Events itu mendapat sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Saufi Affandi, Gegar Joran Melaka berpotensi terus dikembangkan sebagai acara tahunan yang sinonim dengan Tasik Ayer Keroh, seterusnya meletakkan kawasan itu sebagai antara destinasi pilihan komuniti pemancing.












