JOM SERBU KARNIVAL PUTRA @SAWAH SEMPADAN, TANJONG KARANG 2025!

0
149

TANJONG KARANG, 11 Disember – Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival PUTRA @Sawah Sempadan 2025 yang bakal berlangsung selama dua hari pada 13 dan 14 Disember 2025, bertempat di Dewan Pusat Komuniti Kampung Kunci Air Buang, Sawah Sempadan.

Karnival anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga, dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari. Ia dijangka menjadi acara kemuncak hujung tahun bagi komuniti setempat dan kawasan sekitar.

Pengarah UCTC UPM, Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad

Menurut Pengarah UCTC UPM, Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad, penganjuran karnival ini merupakan usaha berterusan UPM untuk mendekati komuniti melalui pemindahan ilmu, pembangunan sahsiah serta mempromosikan kelestarian dalam sektor pertanian dan kehidupan luar bandar.

“Kami percaya pendekatan berbentuk komuniti seperti ini mampu memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat, di samping menyampaikan ilmu dan maklumat penting dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan,” katanya.

Antara tarikan utama karnival ialah cabutan bertuah dan kuiz agro interaktif yang menggabungkan elemen hiburan dan pendidikan, khususnya dalam bidang pertanian dan inovasi komuniti.

Bagi kanak-kanak pula, mereka boleh menyertai pertandingan mewarna yang bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat mencungkil bakat seni sejak awal usia. Aktiviti ini turut disediakan dalam suasana mesra keluarga.

Tidak ketinggalan, acara gusti lengan “kampung style” dijangka mencuri perhatian dengan penyertaan pelbagai lapisan umur, selain sukan rakyat yang dijamin menghiburkan dan mengimbau nostalgia permainan tradisional.

Bagi penggemar aktiviti santai, terdapat pertandingan memancing dan karom, manakala pencinta makanan pula boleh menyertai atau menyaksikan pertandingan makanan warisan yang mempamerkan keunikan rasa dan budaya setempat.

Acara ini juga akan menampilkan demonstrasi pertanian dan masakan tempatan, yang memberikan peluang kepada pengunjung mempelajari teknik baru serta resipi tradisional yang diwarisi turun-temurun.

Lebih istimewa, karnival ini turut menawarkan  pemeriksaan kesihatan PERCUMA kepada semua pengunjung melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kesihatan dan NGO.

Dalam masa sama, pameran dan jualan oleh UPM, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta usahawan tempatan akan memeriahkan lagi suasana. Peluang membeli produk pertanian, makanan dan hasil kraftangan tempatan terbuka luas untuk semua.

Antara yang dinanti-nantikan ialah Jualan Ehsan Rahmah, yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga sangat rendah, bertepatan dengan semangat membantu rakyat menjelang penghujung tahun.

Sehubungan itu, semua penduduk sekitar, termasuk dari luar kawasan, dijemput hadir. “Bawa keluarga, kawan dan jiran. Kita raikan komuniti, ilmu dan keseronokan bersama-sama di tengah sawah yang penuh makna ini,” ujar Dr. Khairulmazmi lagi, mengakhiri kenyataannya.

About The Author