MPAJ GALAS TANGGUNGJAWAB JAYAKAN TEMASYA SUKMA SELANGOR 2026

0
101
MPAJ menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada pasukan badminton Selangor sempena SUKMA Selangor 2026.

AMPANG JAYA, 13 Ogos – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggalas tanggungjawab dalam menjayakan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati dipilih sebagai salah satu venue bagi acara e-sukan yang akan berlangsung dari 19 hingga 24 Ogos ini.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam bin Shaari berkata, persiapan menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan venue berkenaan berada pada tahap terbaik untuk menerima kehadiran atlet, pegawai kontinjen serta pengunjung sepanjang temasya sukan berprestij itu berlangsung.

Menurutnya, antara acara e-sukan yang akan dipertandingkan di Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati ialah E-Chess, Mobile Legends: Bang Bang, Honor of Kings, E-Football, Street Fighter 6 dan E-Simulator, sekali gus menjadikan lokasi berkenaan antara tumpuan peminat e-sukan sepanjang penganjuran SUKMA Selangor 2026.

“Bagi memastikan pertandingan berlangsung dalam keadaan optimum, penyelarasan telah dilaksanakan bersama beberapa agensi teknikal dan pihak berkaitan termasuk Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Felda D’Saji, TM Unifi serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Antara aspek utama yang diberikan perhatian ialah penyediaan sambungan internet berkelajuan tinggi dan stabil, bekalan elektrik yang mencukupi serta sistem penyaman udara yang berfungsi dengan baik. Susun atur tempat duduk penonton dan laluan keluar masuk turut diberikan perhatian bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan sepanjang pertandingan,” katanya.

Hasrolnizam berkata, sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang pertandingan, Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati sebelum ini turut menerima lawatan beberapa pasukan Majlis Sukan Negeri bagi meneliti fasiliti dan kemudahan yang disediakan. Antaranya ialah wakil dari Sabah, Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau berkata, penglibatan MPAJ dalam temasya kali ini bukan hanya tertumpu kepada penyediaan venue e-sukan, malah pihak berkuasa tempatan itu turut diberi tanggungjawab sebagai bapa angkat kepada sukan badminton dan skuasy bagi kontinjen Selangor.

“Sebagai bapa angkat kepada kedua-dua sukan itu, MPAJ komited memberikan sokongan kepada atlet yang membawa cabaran Selangor. Sebelum ini, MPAJ telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada setiap pasukan badminton dan skuasy sebagai tanda sokongan serta pembakar semangat kepada atlet yang akan berjuang pada SUKMA kali ini,” katanya.

Sementara itu, bersempena penganjuran temasya tersebut, Lorong Perak, Taman Melawati akan ditutup dari 15 hingga 24 Ogos khusus bagi kegunaan sekretariat dan petugas SUKMA. Orang ramai yang mahu hadir menyaksikan pertandingan boleh menggunakan kawasan tempat letak kereta di sekitar Pusat Beli-Belah Melawati dan lot parkir di Jalan Melawati 1 serta dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal.

Hasrolnizam turut mengajak orang ramai khususnya warga Ampang Jaya dan peminat e-sukan hadir beramai-ramai ke Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati bagi memeriahkan Temasya SUKMA Selangor 2026 serta memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding.

About The Author