IKAN TALANG 1.085KG MEMBAWA TUAH BUAT PESERTA DARI PERAK

0
141

KLANG, 10 Ogos – Ikan talang seberat 1.085 kilogram membawa tuah bua Mohamad Kamal dari Perak apabila menjuarai pertandingan memancing Selangor Surfcasting Challenge 2026 di Tanjung Harapan, Klang Selangor semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan pesara tentera berusia 44 tahun itu meraih hadiah wang tunai RM7,000.

Tempat kedua menjadi milik Zulkeflee Abd Aziz, 48, dari Selangor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 menerusi tangkapan ikan duri seberat 600 gram, manakala Ramat, 45, juga dari Selangor meraih RM500 menerusi ikan gelama seberat 540 gram.

Meskipun pertandingan berlangsung dalam cuaca hujan, keadaan itu tidak mematahkan semangat para peserta yang datang dari Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor untuk menguji kemahiran masing-masing.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, sambutan terhadap pertandingan tersebut membuktikan Tanjung Harapan semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti memancing dan ia berpotensi diperkukuhkan sebagai antara hab memancing serta produk pelancongan di Selangor.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan sambutan terhadap penganjuran kali kedua itu terutama apabila ia berjaya menarik penyertaan pemancing dari luar Selangor.

“Penganjuran kali kedua ini menunjukkan jenama Selangor Surfcasting Challenge semakin mendapat tempat di hati para pemancing.

“Kehadiran kira-kira 300 peserta dari beberapa negeri juga membuktikan pertandingan ini mempunyai potensi untuk berkembang dan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Katanya lagi, jumlah pengunjung ke Tanjung Harapan juga semakin meningkat pada setiap minggu dengan orang ramai bukan sahaja datang untuk memancing, malah beriadah bersama keluarga sambil menikmati pemandangan pesisir.

“Di sini pengunjung boleh melihat sendiri kapal-kapal kargo besar yang melalui perairan Pelabuhan Klang. Itu antara keunikan yang mungkin tidak terdapat di banyak kawasan rekreasi lain.

“Kita mahu Tanjung Harapan menjadi destinasi yang hidup dengan pelbagai aktiviti secara berkekalan dan berterusan, khususnya pada setiap hujung minggu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, terdapat perancangan untuk mengetengahkan kawasan penempatan Orang Asli berhampiran sebagai antara tarikan pelancongan setempat yang boleh melengkapi pembangunan produk pelancongan di sekitar Tanjung Harapan.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran kali kedua Selangor Surfcasting Challenge memberi keyakinan supaya pertandingan itu diteruskan tahun depan dan seterusnya berpotensi berkembang sebagai antara acara atau sirkit memancing yang dinanti-nantikan kaki pancing.

“Kita juga berharap para pengunjung menjaga kebersihan, keselamatan dan kemudahan yang disediakan. Apa sahaja yang dinaik taraf oleh pihak majlis termasuk pencahayaan perlu dijaga bersama.

“Elakkan melakukan perkara di luar batasan yang boleh menjejaskan kawasan ini. Kita mahu keindahan Tanjung Harapan terus terpelihara untuk dinikmati semua,” katanya.

About The Author