250 SERTAI PROGRAM ‘RIVER WE SHARE’ DI KAMPUNG PADANG BALANG

0
65

KUALA LUMPUR, 5 Julai 2025 – Seramai lebih 250 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, komuniti setempat, agensi kerajaan dan sektor swasta menyertai Program Kesedaran Alam Sekitar “River We Share, Together We Care” yang berlangsung meriah di Tapak Denai Sungai Kebangsaan, Kampung Padang Balang, hari ini.

Program anjuran Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) ini diadakan bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan objektif untuk memupuk kesedaran dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian alam sekitar, khususnya sungai bandar.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir bin Hassan yang menyatakan komitmen beliau dalam menyokong dasar dan program pemuliharaan alam sekitar di peringkat Parlimen dan akar umbi.

Menurut beliau, usaha memulihara alam sekitar tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada masyarakat pelbagai peringkat termasuk belia, penjawat awam, pelajar, dan pihak swasta.

“Sudah tiba masanya kita tidak hanya melihat pencemaran sebagai masalah biasa, sebaliknya bertindak dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab,” ujar beliau ketika berucap merasmikan program tersebut.

Zahir turut memuji pemilihan Sungai Gombak sebagai lokasi penganjuran, memandangkan sungai tersebut mempunyai kepentingan dari aspek ekologi dan warisan tempatan. Beliau menyifatkan Kampung Padang Balang, antara kampung Melayu tertua di ibu kota, sebagai contoh bagaimana pembangunan boleh seiring dengan pemeliharaan alam dan sejarah.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah JASWPKL, Zuraini binti Haji Ahmad Tajudin, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Norhayati binti Mat Said, Pengerusi PEWARIS, Rosden Mohd Yassin, serta Site Director Haleon Malaysia, Alastair Reed.

Antara tarikan utama program ialah aktiviti pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta minyak masak terpakai, di mana sebanyak 0.15 metrik tan (150 kg) e-waste dan 0.1 metrik tan (100 kg) minyak masak berjaya dikumpulkan daripada peserta dan komuniti setempat untuk dilupuskan secara mesra alam.

Selain itu, para peserta turut menyertai aktiviti gotong-royong pembersihan sungai, kuiz interaktif, dan pameran kesedaran alam sekitar, manakala pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi menunjukkan semangat luar biasa dalam menyokong inisiatif hijau ini.

YB Zahir dalam ucapannya turut menekankan pentingnya pendidikan alam sekitar diterapkan sejak usia muda agar generasi akan datang lebih memahami nilai penjagaan bumi sebagai satu tanggungjawab moral dan spiritual.

Beliau menyeru agar sinergi antara kerajaan, agensi swasta, NGO dan masyarakat terus diperkukuh dalam memastikan inisiatif penjagaan alam dapat diteruskan secara berkesan dan berterusan.

Program yang berlangsung dari pagi hingga tengah hari itu dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam menghubungkan masyarakat dengan isu kelestarian secara langsung dan praktikal.

Majlis penutup turut diserikan dengan bacaan pantun oleh YB Zahir yang mengajak semua pihak terus bersatu hati demi menjaga alam sekitar untuk masa depan yang lebih hijau dan sejahtera.

About The Author