200 peladang akan dapat 50,000 benih pokok kopi

0
1665
KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 peladang di seluruh negara bakal menerima 50,000 benih pokok kopi untuk diusahakan, membabitkan tanah seluas 40.46 hektar menjelang tahun depan.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Minuman, Nestle Malaysia, Othman Chraibi, berkata pengagihan anak benih ini adalah fasa perintis Program Nescafe Grown Respectfully (Disemai Dengan Kasih) anjuran Nestle Malaysia, dengan kerjasama beberapa agensi bagi memulihkan semula industri perladangan kopi negara.

Katanya, kerjasama membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA); Jabatan Pertanian Negeri Kedah (KSDA); Lembaga Kemajuan Ekonomi Kedah (KEDA); Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Agrikultur Nestle Malaysia juga pernah mengadakan kerjasama dengan KEDA, pada awal 1990-an membabitkan keluasan 1.21 hektar.

“Ketika itu tapak semaian tanaman induk dibangunkan bertujuan menyokong pembangunan tanaman kopi tempatan, sekali gus membantu peladang meningkatkan sumber pendapatan.

“Kali ini kerjasama diperluaskan menerusi Program Grown Respectfully (Disemai Dengan Kasih) dengan matlamat yang sama dan diperkasakan menerusi amalan pertanian baik.

“Bagi mencapai amalan pertanian baik dengan sumber yang mapan, demonstrasi lapangan dan sesi latihan diadakan pada program ini bagi menumpukan peningkatan produktiviti, pengurangan kos ladang, meminimumkan kesan alam sekitar dan meningkatkan kecekapan kerja peladang,” katanya.

Beliau berkata, program itu akan menyemai etika pertanian yang baik dengan menumpukan kepada tiga tunjang utama, iaitu menyantuni peladang, komuniti dan bumi.

“Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk menaik taraf kualiti produk dan menghargai pengguna.

“Nescafe adalah jenama terbesar kopi di Malaysia. Kami menggalakkan menanam kopi sebagai pendapatan baharu negara dan mendapatkan bekalan bahan mentah berkualiti, serta tidak perlu diimport.

“Iklim Malaysia sesuai untuk tanam kopi jenis robusta dengan tanah landai seperti di Kedah.

“Benih robusta dari Ivory Coast yang juga menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan kopi Nestle.

“Fasa pertama sebagai pelopor tanaman ladang di Kedah, sebelum dikembangkan program ini ke negeri lain.

“Namun, ia mengikut kesesuaian jenis tanaman kopi seperti Arabica yang ditanam di tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Pahang, manakala kopi Liberica ditanam di Tenom, Sabah,” katanya.

Katanya, tahun lalu Nestle Malaysia bekerjasama dengan FELDA, menyediakan tanah ladang untuk mempelbagai tanaman, selain getah dan sawit.

Othman berkata, pihaknya memerlukan lebih ramai petani muda dan berpengetahuan seawal usia 26 tahun.

Sehingga kini mereka sudah membantu 100 petani muda dan bakal menerima 100 lagi peserta pertanian, bagi program Grown Respectfully.

“Dengan memberi sokongan, latihan dan material, peladang dapat menambah pendapatan dengan membekal bahan mentah seperti beras dan cili, yang kami beli terus daripada petani Kedah dan Kelantan.

“Kami mahu petani kenal kopi melalui latihan dan mengenali pokok serta memilih biji kopi terbaik.

“Disediakan standard dengan teknik latihan dengan kaedah termudah. Petani di Kedah sudah maklum dan faham mengenai kualiti biji kopi yang memenuhi standard.

“Kami melatih peladang menggunakan teknik cantuman penanaman pokok secara besar-besaran daripada benih.

“Selepas dua tahun hasilnya dapat dituai. Apabila pokok mencapai ketinggian dua meter, peladang dapat memetik biji kopi dengan mudah,” katanya.

Nestle Malaysia menyediakan nasihat teknikal untuk semua perkara berkaitan penghasilan dan pengeluaran benih kopi, perladangan, penyelenggaraan lapangan serta operasi selepas tuai.

Selain latihan berterusan dalam amalan pertanian baik untuk peladang, pihaknya turut memantau semua tanaman kopi bagi memastikan tumbesaran dan penghasilan yang baik.

 

Content retrieved from: https://www.bharian.com.my/wanita/keluarga/2019/11/624154/50000-benih-pokok-kopi-diagih-pada-peladang.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here