
KUALA LUMPUR: Sri Rampai Fishing Tackle (SRT) menaja pertandingan Cabaran Joran Malaysiaku yang akan berlangsung pada 16 September ini di Taman Tasik Sri Rampai, di sini, sempena sambutan 3M (Malaysia, Maulidur Rasul, Merdeka).
Pengurus SRT, Mohd Aidi Senin, berkata sumbangan itu sebagai sokongan kepada pihak masjid yang menganjurkan aktiviti sihat berasaskan komuniti.
Katanya, usaha sebegini dapat menggalakkan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.
Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000 dengan juara membawa pulang RM5,000, tempat kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.
Peserta yang menduduki tempat keempat hingga kesepuluh bakal menerima RM200 setiap seorang, manakala tempat ke-11 hingga ke-20 menerima RM150.
Bagi ranking ke-21 hingga ke-111 pula, masing-masing akan membawa pulang hadiah saguhati RM100 seorang.
SRT turut menaja 15 hadiah barangan memancing untuk cabutan bertuah selain memberikan potongan harga 10 peratus di premis mereka sepanjang karnival.
Sebanyak 300 T-shirt percuma disediakan untuk pendaftaran awal. Yuran penyertaan ditetapkan RM50 bagi satu joran dengan dua mata kail, membolehkan peserta disenaraikan sehingga ranking ke-111.
Pendaftaran walk-in dibuka pada 15 September 2025 (Isnin) dari jam 3 petang hingga 7 malam, dan keesokan harinya bermula 6.30 pagi.
Orang ramai yang berminat boleh melayari laman Facebook rasmi Joran KL atau menghubungi urus setia di talian 013-2667011, 012-3554946 dan 012-6468111 untuk maklumat lanjut.