CABARAN JORAN MERDEKA MBSJ 2025: RM19,700 DAN MOTOSIKAL JADI REBUTAN

0
104

PUCHONG, 12 Ogos – Taman Tasik Kampung Seri Aman bakal dimeriahkan dengan kehadiran ratusan kaki pancing dari seluruh negara sempena Pertandingan Cabaran Joran Merdeka MBSJ 2025, bersempena sambutan Ulang Tahun Kelima Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan bulan kemerdekaan Malaysia.

Pertandingan dwitahunan ini dianjurkan oleh MBSJ dengan kerjasama Nadi Media Events, serta mendapat sokongan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 12. Program ini merupakan inisiatif yang menggabungkan elemen sukan rakyat dan rekreasi bagi mengeratkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.

Acara yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 petang ini mengenakan yuran penyertaan sebanyak RM40.00 untuk setiap joran. Seramai lebih 500 peserta dijangka mengambil bahagian dalam pertandingan yang menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai sebanyak RM19,700.00, iaitu peningkatan berbanding RM13,700.00 yang ditawarkan dalam edisi 2023.

Hadiah utama pertandingan termasuk RM5,000 untuk Juara, RM3,000 bagi Naib Juara, dan RM1,000 untuk tempat Ketiga. Tempat Keempat membawa pulang RM500, manakala tempat Kelima hingga Kesepuluh akan menerima RM200. Peserta di kedudukan Ke-11 hingga Ke-100 turut diberi ganjaran RM100 seorang sebagai penghargaan penyertaan.

Lebih menarik, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah berupa sebuah motosikal kepada peserta bertuah, menjadikan pertandingan ini antara yang paling dinantikan tahun ini. Selain itu, 200 helai T-shirt eksklusif akan diberikan kepada peserta yang membuat pendaftaran awal.

Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan bin Dato’ Sri Abd Rahim dijangka hadir bagi menyempurnakan acara ini sebagai tanda sokongan kepada pembangunan sukan komuniti dan memeriahkan lagi sambutan ulang tahun MBSJ yang kelima.

Ini merupakan kali ketiga Cabaran Joran MBSJ dianjurkan, selepas edisi terdahulu diadakan di Taman Tasik Wawasan dan Taman Tasik Seri Aman, Puchong. Lokasi kali ini kembali ke Taman Tasik Seri Aman yang dilihat lebih strategik dan sesuai dari segi fasiliti serta sambutan komuniti.

Sebagai nilai tambah, MPP Zon 12 akan menganjurkan pelbagai aktiviti komuniti di bawah program Lestari Kampung. Antara yang dijangka menarik perhatian pengunjung ialah Pertandingan Sepakan Penalti di Padang Bola Sepak MBSJ Kampung Seri Aman, Program Subuh Macam Jumaat di Masjid Kampung Seri Aman dan Karnival Jualan Komuniti yang menyokong usahawan tempatan.

Pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform rekreasi sihat untuk peminat aktiviti memancing, malah mengangkat Taman Tasik Seri Aman sebagai produk pelancongan komuniti yang berpotensi dikembangkan lagi. Ia sejajar dengan usaha MBSJ mempromosi gaya hidup sihat, memupuk perpaduan komuniti dan memartabatkan kawasan rekreasi sebagai destinasi pelancongan domestik.

Cabaran Joran Merdeka MBSJ 2025 menampilkan gabungan antara sukan, pelancongan dan kerjasama komuniti, menjadikannya salah satu acara yang berimpak tinggi dalam kalendar aktiviti tahunan MBSJ.

About The Author