CABARAN JORAN MERDEKA MBSJ DI TASIK SERI AMAN

0
404

PUCHONG, 22 Ogos – Lebih 500 kaki pancing dari seluruh negara bakal berhimpun di Taman Tasik Seri Aman, Puchong pada Ahad ini sempena Cabaran Joran Merdeka Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2025.

Pertandingan dwitahunan anjuran MBSJ dengan kerjasama Nadi Media Events serta sokongan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 12 itu diadakan bersempena ulang tahun kelima MBSJ dan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Yuran penyertaan untuk acara yang akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu adalah RM40 bagi setiap joran.

Sejumlah RM19,700 hadiah wang bakal menjadi rebutan dengan juara bakal menerima RM5,000 diikuti RM3,000 (naib juara) dan RM1,000 untuk tempat ketiga.

Pemenang tempat keempat akan membawa pulang RM500 manakala peserta di kedudukan kelima hingga ke-10 masing-masingnya akan menerima RM200.

Peserta di kedudukan ke-11 hingga ke-100 juga tidak pulang tangan kosong apabila tetap menerima RM100 seorang, selain berpeluang menyartai cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal sebagai hadiah utama.

Sebagai persiapan, majlis melepaskan ikan lampam sungai dan Bbung seberat antara 800 gram hingga dua kilogram telah disempurakan oleh Ahli Majlis Zon 12, Muhammad Fauzan Rosli bersama Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MBSJ, Rubaizah Mohamed Noh serta pegawai MBSJ.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, pertandingan itu bukan sahaja membuka ruang masyarakat beriadah, malah mampu menjadikan Taman Tasik Seri Aman sebagai destinasi pelancongan domestik.

“Cabaran Joran MBSJ ini adalah medium terbaik untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan pihak berkuasa tempatan. Selain beriadah, ia memupuk perpaduan komuniti dan menyokong agenda gaya hidup sihat,” katanya.

Pendaftaran akan mula dibuka esok, (Sabtu 23 Ogos) dari jam 3 petang hingga 7 malam, dan diteruksan pada hari Ahad mulai jam 6.30 pagi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook Joran KL atau menghubungi urus setia di talian 013-266701 (Syukor), Jas (012-3554946) dan Ali (012-2846811).

About The Author