HARI SUKAN NEGARA DIRAI MERIAH, KELI GERGASI TAWAN CABARAN JORAN KL

0
60
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Sukan DBKL, Yazid Bin Rahim, bersama Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju, Ghazali Katun kepada para pemenang Cabaran Joran Kuala Lumpur sempena Hari Sukan Negara 2025.

KUALA LUMPUR, 13 Okt. – Tasik Danau Kota, Setapak, hari ini menjadi tumpuan apabila seramai 815 peserta menyertai Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena sambutan Hari Sukan Negara semalam.

Acara yang bermula seawal jam 7 pagi itu menyaksikan kehadiran ratusan kaki pancing dari pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bersama keluarga bagi memeriahkan suasana di sekitar tasik berkenaan.

Program tahunan berkenaan diadakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara serta menggalakkan warga kota mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah dan rekreasi.

Pertandingan kali ini menyaksikan remaja berusia 17 tahun, Mohd. Aizuludin Mohd. Azlan dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur, mencipta kejutan apabila berjaya menaikkan ikan keli seberat 13.515 kilogram, sekali gus dinobatkan sebagai juara Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025.

Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 hasil tangkapan luar biasa menggunakan umpan hati ayam.

Menurut Mohd. Aizuludin, pengalaman selama 15 tahun dalam dunia memancing banyak membantunya mengatur strategi sepanjang pertandingan tersebut.

“Saya tidak sangka dapat muncul juara. Hadiah kemenangan ini saya rancang untuk digunakan membeli sebuah motosikal bagi memudahkan urusan harian,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Tempat kedua dimenangi Mohd. Termizey Ya, 44, dari Kajang, yang menaikkan ikan patin seberat 13.305 kilogram dan membawa pulang RM2,000, manakala tempat ketiga milik Jailani Fathurtazi, 45, dari Gombak, yang berjaya menaikkan ikan keli seberat 11.780 kilogram, membawa pulang RM1,000.

Menurut DBKL, penganjuran pertandingan ini bukan sekadar acara memancing, tetapi turut menjadi wadah mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat komuniti dalam kalangan warga bandar raya.

Sepanjang pertandingan, hanya seekor ikan patin berjaya dinaikkan manakala spesies ikan keli mendominasi senarai tangkapan utama daripada 111 ranking peserta terbaik.

Dalam masa sama, DBKL turut mengambil langkah mengeluarkan spesies keli Afrika bagi memastikan ekosistem tasik kekal seimbang serta memberi peluang kepada ikan tempatan untuk membiak.

Lebih 500 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan sepanjang pertandingan, sekali gus membuktikan Tasik Danau Kota masih kaya dengan sumber dan sesuai dijadikan lokasi aktiviti memancing di tengah-tengah ibu kota.

Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 turut menjadi siri terakhir program memancing anjuran DBKL bagi tahun ini selepas tiga siri terdahulu diadakan di Tasik Danau Kota sempena Hari Wilayah Persekutuan, Tasik Permaisuri sempena Hari Pekerja, dan Tasik Metropolitan Kepong bersempena Hari Kebangsaan.

Penganjuran di Tasik Danau Kota kali ini menjadi simbolik sebagai penutup tirai siri tahunan DBKL sempena sambutan Hari Sukan Negara yang diraikan di seluruh negara.

Rata-rata peserta berharap agar Cabaran Joran Kuala Lumpur kembali dianjurkan tahun depan dengan skala lebih besar, memandangkan sambutannya amat menggalakkan dan mampu menjadi platform riadah sihat untuk warga kota.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Sukan DBKL, Yazid Bin Rahim, bersama Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju, Ghazali Katun, yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para pemenang serta penghargaan kepada semua peserta yang menjayakan acara berkenaan.

About The Author