INTAC26 PACU PERDAGANGAN, SENI DAN PELANCONGAN GLOBAL SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA

0
150

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Program Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Global (INTAC) 2026 bakal menjadi antara acara berprestij sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) apabila ia dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 10 hingga 12 Julai depan.

Dianjurkan oleh WEX Malaysia Sdn. Bhd. dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia, INTAC 2026 membawa tema ‘Bridging Cultures, Inspiring Trade’ yang mencerminkan peranan strategik pelancongan, seni dan budaya sebagai pemangkin perdagangan serta hubungan antarabangsa.

Acara bertaraf antarabangsa itu dijangka menghimpunkan lebih 400 pempamer, penyertaan dari kira-kira 50 negara serta menarik kehadiran hampir 50,000 pengunjung tempatan dan luar negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab pertukaran budaya dan industri kreatif global.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, INTAC 2026 sejajar dengan aspirasi VM2026 dan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan keterangkuman, kelestarian serta kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, platform seperti INTAC bukan sahaja mempromosikan destinasi pelancongan, malah membuka ruang kolaborasi strategik antara kerajaan, pemain industri dan komuniti kreatif antarabangsa.

“INTAC 2026 mencerminkan kesungguhan industri dan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dunia yang berteraskan budaya, kreativiti dan nilai ekonomi mampan,” katanya ketika berucap sempena majlis prapelancaran dan sidang media INTAC di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif WEX Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Leena Al-Mujahed.

Choon Man turut menggalakkan penyertaan aktif pemain industri pelancongan, hospitaliti, seni, budaya dan pelabur antarabangsa bagi memanfaatkan peluang rangkaian perniagaan, pendedahan jenama serta kerjasama jangka panjang yang ditawarkan sepanjang penganjuran acara itu.

Dalam pada itu, Dr. Leena berkata, kejayaan INTAC 2024 yang merekodkan kehadiran lebih 35,000 pengunjung serta nilai jualan dan kontrak sekitar RM7.5 juta menjadi asas kukuh untuk penganjuran edisi 2026 yang lebih besar dan berimpak tinggi.

“INTAC diasaskan atas kepercayaan bahawa pelancongan, seni dan budaya bukan sekadar industri, tetapi jambatan yang menghubungkan manusia, idea dan ekonomi merentas sempadan,” katanya sambil memberitahu komitmen pihak penganjur untuk membina platform yang inklusif dan bernilai jangka panjang.

Beliau menjelaskan, INTAC 2026 akan memberi tumpuan kepada padanan perniagaan yang lebih mendalam, penyertaan antarabangsa yang lebih meluas serta pameran budaya yang dipertingkatkan bagi mencerminkan kepelbagaian warisan serantau dan global.

“INTAC 2026 bukan hanya tentang skala, angka atau pameran. Ia adalah tentang mencipta nilai jangka panjang. Ia adalah tentang memupuk hubungan antara kerajaan dan perniagaan, antara pencipta dan pelabur, antara budaya dan pasaran.

“Ia adalah tentang membentuk ekosistem di mana inovasi, kreativiti, dan perdagangan berkembang bersama,” katanya.

Sepanjang tiga hari penganjuran, INTAC 2026 akan menampilkan pelbagai acara berimpak tinggi termasuk pameran seni tempatan dan antarabangsa, persidangan pelancongan, peragaan fesyen, majlis Gala INTAC, lelongan artifak Islam serta program larian santai yang melibatkan komuniti.

About The Author